HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Julai 2017

Baiah Permatang Pauh satu provokasi Pas – Tian Chua

Wartawan MalaysiaGazette
Tian Chua

KUALA LUMPUR – PKR hari ini kesal dengan tindakan Pas mengadakan baiah menentang calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 semasa mengadakan program pelancaran jentera pilihanraya Ahad lalu.

Naib Presidennya, Tian Chua berkata, tindakan Pas satu provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan Barisan Nasional (BN).

“Pendirian Pas yang berikrar ingin menawan Permatang Pauh akan dipandang seolah-olah parti-parti pembangkang bertengkaran sesama sendiri.

“Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap ia masih sebahagian dari pihak pembangkang yang ingin mengalahkan UMNO-BN pada PRU-14 kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tian Chua, sekiranya Pas bersungguh-sungguh menentang korupsi dan kezaliman rejim BN, kepimpinan parti itu harus menghentikan segala tindakan yang mencabar kesabaran parti PKR.

Menurutnya, Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi Parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan reformasi sejak PRU 1999 lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: