Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak boleh leka dan
selesa dengan beberapa andaian yang dibuat tentang kebolehmenangan parti
itu di negeri terkaya ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri berkata demikian
merujuk kepada proses persempadanan semula yang masih dalam rayuan oleh
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan hubungan baik yang kini terjalin
antara Umno dan PAS.
Malah beliau menegaskan BN terutamanya Umno perlu bekerja keras dengan
memanfaatkan peluang yang ada tanpa mengharapkan andaian-andaian seperti
itu berlaku.
"Kita kena menganggap persempadanan semula dan sokongan PAS kepada Umno
itu semua andaian yang belum lagi berlaku jadi kita kena bekerja dgn
apa yang ada sekarang. Sekarang ni yang berlaku belum ada persempadanan
semula walaupun permohonan ada dibuat.
"Apa yang berlaku antara PAS dan pembangkang memang tunjuk bahawa PAS
tidak akan kembali kepada PH kerana ada DAP. Itu masih lagi andaian,
kita tak tahu apa yang berlaku pada masa depan," katanya dalam sidang
media ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kota Raja di Kelab Golf
Kota Kemuning di sini hari ini.
Ismail yang juga merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
meletakkan harapan kepada rakyat Selangor untuk tidak lagi memperjudikan
nasib dengan memilih PH pada PRU14 yang sering bertelagah sesama
sendiri.
"Tapi selepas saya lihat PKR memerintah dua penggal di Selangor tidak nampak perubahan yang besar seperti yang dijanjikan.
"Di Selangor pun saya percaya tentang rumah PPR dan sebagainya semua
yang dijanjikan tidak dilaksanakan. Saya harap dan percaya orang
Selangor ni tak mungkin ditipu terlalu banyak kali," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamarulzaman Johari
pula meletakkan keyakinan bahawa Umno kawasan Parlimen itu mampu
melakukan kejutan jika pertandingan tiga penjuru berlaku.
"Sekarang ni telah berlaku perpecahan PAS tidak lagi berada dalam PH,
calon yang ada sekarang masuk dalam Amanah (dan) saya jangkakan
kemungkinan ada pertandingan tiga penjuru.
"Saya percaya ada sedikit harapan untuk kita menang walaupun ada jurang
majoriti yang agak besar tapi kalau tiga penjuru kemungkinan akan
berlaku perpecahan dan kita boleh lakukan kejutan," ujar beliau.
Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud sebelum ini memenangi kerusi tersebut melalui tiket PAS pada PRU13.
Pada 2013 beliau mengalahkan calon BN dengan majoriti 20,751 undi.
Namun Siti Mariah meninggalkan parti itu pada 2015 dan menyertai Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan