HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Julai 2017

Jangan guna RCI untuk serang Dr Mahathir, kata Anwar

Berita Daily Staff

Anwar Ibrahim mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990an

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990an yang berkuat kuasa Sabtu lalu.

Anwar bagaimanapun berkata, RCI berkenaan tidak seharusnya digunakan menyerang musuh politik kerajaan seperti Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

“Saya alu-alukan kesediaan kerajaan menubuh Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) yang akan dipengerusikan oleh Mohamed Sidek Hassan, Pengerusi Petronas.

“Peringatan saya agar jangan ia dijadikan momok politik untuk menyerang musuh tertentu, khususnya Dr Mahathir Mohamad,” kata Anwar, dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas ketua pembangkang itu berkata, selaku Menteri Kewangan yang meredakan masalah tersebut dan menerima perletakan jawatan pegawai yang bertanggungjawab iaitu Nor Mohamed Yakcop serta Gabenor Bank Negara pada ketika itu, Jaafar Hussein, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI ini.

“Saya akan memberikan semua fakta secara telus tetapi tidak akan diheret untuk diperalatkan dalam gelanggang politik,” kata Anwar lagi.

Yang di-Pertuan Agong ke-XV, Sultan Muhammad V memperkenankan penubuhan meluluskan penubuhan RCI tersebut baru-baru ini.

Selain Sidek, RCI itu juga akan dianggotai oleh Kamaludin Md. Said, Hakim Mahkamah Tinggi; Tajuddin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad ; Saw Choo Boon, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan; K. Pushpanathan, Ahli Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young; dan  Dr. Yusof Ismail, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha.

Suruhanjaya berkenaan akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai kuat kuasa penubuhannya dan akan menyembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong

Tiada ulasan: