Mana – mana pihak dalam negara kita
tidak sewajarnya mempolitikan isu pinjaman pendidikan dalam negara kita.
Setiap kali hampirnya musim pilihanraya, maka muncul lah janji – janji
manis untuk melakukan pelbagai perkara bagi menarik perhatian golongan
pengundi dalam negara kita.
Antara yang perlu diberi perhatian ialah
perkara yang berkaitan dengan isu pinjaman pendidikan. Isu yang
membabitkan pinjaman pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan
politik oleh mana – mana pihak kerana pihak yang terlibat dengan
pemberian pinjaman berkenaan telah bertukus lumus memastikan para
peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman yang telah mereka
buat.
Perlu diketahui, kebanyakkan mereka yang
meminjam untuk pinjaman pendidikan adalah terdiri daripada generasi
muda yang bakal menempuhi alam pekerjaan dan rumahtangga.
Sekiranya terlalu banyak janji manis
yang diberikan khusus mengenai perkara ini seolah – olah memberi tahu
kepada mereka bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah –
lengah, menangguhkan mereka serta tidak perlu untuk membayar balik
segala pinjaman yang relah dibuat.
Akhirnya ia akan mengakibatkan mereka
menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa
terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan.
Tidak salah sekiranya kita bersuara
untuk membantu para peminjam melunaskan segala hutang mereka dengan
memudahkan proses pembayaran balik pinjaman. Namun satu perkara pokok
yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada kita perlu
dilatih dari usia muda bahawa setiap hutang yang dibuat perlu dibayar
tanpa lengah – lengah. Sekiranya, kita tidak mampu membayar balik
terhadap hutang yang dibuat, maka tidak perlu lah kita untuk membuat
hutang.
Orang muda khususnya harus di didik
supaya mereka lebih berdisplin untuk melunaskan segala tanggungjawab
mereka. Sekiranya mereka berjaya dilatih dari peringkat awal untuk
berdisplin dan bertanggungjawab khusus dalam aspek pengurusan kewangan
diri mereka, sudah pasti mereka dapat menempuhi segala dugaan dan
cabaran yang bakal datang di dalam kehidupan mereka kelak.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan