KUALA LUMPUR: Sungguhpun menelan kos yang tinggi, namun perkhidmatan
Transit Aliran Massa (MRT) adalah projek negara untuk kesejahteraan
rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said
Keruak.
Beliau berkata projek MRT laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51
kilometer dengan kos RM21 bilion yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak hari ini akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang
setiap hari.
"Ini adalah cenderahati perdana menteri untuk negara. Dengan kejayaan
ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan
pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara,” katanya menerusi
laman blognya sskeruak.blogspot.my.
Beliau berkata pembinaan MRT itu membuktikan kerajaan sentiasa
meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dan tidak
mendiskriminasikan negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan
dengan kerajaan.
Katanya ia juga membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan
perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara
selain menyediakan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara
maju.
“Dengan terbinanya MRT ini, maka manfaatnya banyak sekali untuk rakyat.
Antaranya ialah menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya.
Salleh berkata penggunaan MRT juga dapat mengurangkan kesesakan lalu
lintas iaitu dengan kadar pengurangan 160,000 kenderaan memasuki bandar
setiap hari selain dapat mengurangkan pencemaran alam dan memudahkan
perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.
“Justeru pelaburan kerajaan yang tinggi dalam menyediakan kemudahan
pengangkutan kepada rakyat, Indeks Persaingan Global 2016-2017
meletakkan Malaysia di tangga ke-11 teratas dalam kalangan 138 negara
untuk pembangunan infrastruktur pengangkutan," katanya.
Beliau berkata kedudukan Malaysia lebih baik daripada negara ASEAN yang
lain seperti Indonesia (36), Thailand (37), Vietnam (63), Filipina (90)
dan Laos (110).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan