Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk saya memohon maaf kepada Naib Presiden
Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, demikian tegas Pensyarah Universiti
Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Malah Kamarul Zaman tetap mempertahankan tulisan status yang bertajuk
"Dr Mujahid antara kuda tunggangan DAP", yang dakwanya ditujukan kepada
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh, jadi mengapa
Mujahid yang melatah.
"Maaf, saya takkan buat permohonan maaf. Saya tetap berpegang bahawa
kenyataan saya tersebut adalah satu kenyataan yang betul bukan bersifat
fitnah. Saya boleh cakap kenyataan tersebut dengan bukti-bukti yang akan
boleh diberikan. Saya dah jelaskan sebenarnya dalam Facebook saya
mengapa sebut begitu. Saya akan berikan butir-butir lain bagi
membuktikan kenyataan tersebut di mahkamah nanti.
"Jadi, tiada masalah. Cuma saya memang takkan minta maaf. Mintalah apa
pun saya akan lawan sahaja lah. Saya yakin, InsyaAllah saya akan
menang," katanya kepada Antarapos.
Kamrul Zaman berkata demikian mengulas saman bernilai RM5 juta
difailkan Mujahid yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan fitnah.
Pensyarah itu turut beranggapan kes saman yang difailkan pemimpin
tersebut secara langsung adalah cubaan untuk 'senyapkan' beliau dari
mengkritik mana-mana pemimpin Amanah secara terbuka ekoran mampu
menjejaskan kes tersebut.
"Maksud kenyataan itu sebab Mujahid ini macam menyuarakan apa yang DAP
suarakan sebelum ini. Sebagai contoh yang sebelum ini dia menyarankan
kalau Pakatan Harapan (PH) menang parti yang berasaskan agama dan kaum
diharamkan. Benda ini DAP yang cakap. Jadi, bila kata dan suarakan
seolah-olah dia alat DAP.
"Macam kes Hannah Yeoh sendiri. Saya mengkritik Hannah Yeoh kenapa dia
tiba-tiba begitu bersungguh mempertahankan Hannah Yeoh? Sampai bergaduh
dengan saya sedangkan kalau nak kira dia dan saya sesama Islam,"
katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Julai ini sebagai
tarikh baru pengurusan kes saman antara Mujahid terhadap Kamarul Zaman.
Dalam sebutan pertama kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah
Baharom hari ini, Mujahid - yang diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni -
berkata saman berkenaan difailkan ekoran status Facebook dimuat naik
Kamarul Zaman pada 25 Mei lalu.
Sebelum ini, Kamarul Zaman mendakwa buku tulisan Hannah Yeoh bertajuk
Hannah - A Personal Journey cuba memujuk, mempengaruhi atau menghasut
orang ramai supaya menganut atau cenderung kepada Kristian.
Kenyataan Kamarul mengundang banyak kritikan, termasuk daripada Mujahid.
Susulan itu, Kamarul kemudian membuat laporan polis terhadap Yeoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan