Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Pembangkang sanggup mengenepikan prisip dan inspirasi akar
umbi mereka semata-mata demi memastikan mereka memperoleh kuasa untuk
memerintah negara satu hari nanti.
Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini
berdasarkan kepada tindakan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri
Anwar Ibrahim rela mempertahankan musuh ketatnya suatu ketika dahulu,
Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun ditentang sebahagian daripada
penyokong.
"Jadi ini menunjukkan bahawa mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mencapai matlamat mereka sendiri.
"Jadi sebab itu kita lihat walaupun ada di dalam PH sendiri yang tidak
begitu bersetuju terutamanya dengan meletakkan Tun Mahathir sebagai
salah seorang pemimpin dalam PH namun kita lihat ketidakpersetujuan itu
diketepikan kerana matlamat bagi mereka yang lebih besar ialah untuk
mengalahkan BN pada PRU14," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Anwar semalam yang
mempertahankan kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
itu dalam PH, meskipun ada pihak yang mencurigainya.
Ia selepas rata-rata penyokong pembangkang yang hadir di Forum Mahathir
Agen Perubahan atau Agen Pemusnah anjuran Kelab Bangsar Utama pada
Selasa lalu menzahirkan bantahan dan masih berbelah bahagi terhadap
keputusan PH melantik Dr Mahathir selaku pengerusi gabungan berkenaan.
Majoriti hadirin yang bertanya semasa sesi soal jawab, mempertikaikan
jawatan yang diberikan kepada mantan perdana menteri itu dalam gabungan
pembangkang itu.
Malah mereka turut membangkitkan persoalan mengapa pembangkang perlu
bergantung pada bekas perdana menteri itu untuk melakukan revolusi dan
perubahan.
Mengulas lanjut, Martadha menyifatkan PH akan memanfaatkan apa sahaja peluang yang ada demi menjadi kerajaan.
"Kita lihat dalam PH ini ialah sesuatu tindakan yang diambil lebih
kepada praktikal dan bukan kepada pendirian-pendirian yang sebelum ini
mereka pegang tetapi lebih kepada apa sahaja strategi yang membolehkan
mereka untuk menang maka itulah yang akan mereka ambil dan persetujui
sebagai sebahagian daripada dasar mereka," ujarnya.
PH pada 14 Julai lalu mengumumkan struktur parti itu yang menamakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad sebagai
Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan