Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan status
siasatan berhubung Ops Gopi, serbuan yang turut membawa kepada penahanan
beberapa anggota polis sebelum ini.
Wakil rakyat DAP itu berkata, selaku Menteri Dalam Negeri yang
bertanggungjawab ke atas institusi kepolisan, Zahid wajar memberi
penjelasan ke atas kes berkenaan yang dakwanya tiada sebarang
perkembangan sejak tiga bulan yang lalu.
"Pertama, adakah kes ini masih berterusan siasatannya dalam Ops Gopi.
"Kedua, kenapa sehingga sekarang tak ada tindakan? Kalau ada tindakan,
saya nak tahu apakah tindakan yang diambil? Kenapa tiada pengumuman
berkaitan tindakan-tindakan ini.
"Saya minta supaya Datuk Seri Zahid jawab, kena beritahu kenapa kes
sebesar ini, yang telah dilaporkan meluas, di mana siasatan diadakan
berkenaan dengan pihak polis, kenapa tiada penjelasan sampai hari ini.
"Kenapa siasatan ini tiba-tiba hilang dari radar kita,"katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Ops Gopi merujuk serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
ke atas pusat judi dan rumah urut di Melaka yang bermula Mei lalu,
dengan beberapa anggota polis ditahan.
Gopi atau nama sebenarnya Gopinathan Krishnan ialah salah seorang
suspek ditangkap SPRM, yang disyaki menjadi dalang atau perantara di
antara polis dan kegiatan judi serta rumah urut haram di negeri itu.
Dalam pada itu Gobind yang juga pengerusi Biro Undang-Undang DAP
berkata, adalah penting untuk rakyat diberi jaminan bahawa setiap
siasatan yang dilakukan akan dikendalikan dengan telus sebagaimana ikrar
'bebas rasuah' yang dilaungkan institusi polis.
"Ini perkara yang cukup penting bila kita cakap tentang kredibiliti,
tentang pengikraran bebas rasuah dan sebagainya yang sekarang
diuar-uarkan SPRM.
"Rakyat sedang tunggu (perkembangan). Saya sebagai Ahli Parlimen
bangkitkan tapi tak diberi jawapan. Jelaskan kenapa tiada tindakan. Saya
akan bangkitkan dalam dewan sebab perkara ni tak boleh dibiarkan begitu
saja," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan