JOHOR BAHRU: ADUN Rengit Ayub Jamil menafikan dakwaan beliau akan
melompat parti daripada Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM).
Menurutnya kenyataan yang dikeluarkan laman sosial pembangkang itu berniat jahat.
“Kenyataan tersebut menyatakan bahawa Ketua Bahagian PPBM Batu Pahat
Mohd Zaid Mohd Yusof telah beberapa kali berjumpa dengan ADUN berkenaan
(saya) untuk mengadakan perbincangan.
“Semua perkara yang dinyatakan tersebut adalah fitnah, menggunakan
pendekatan politik murahan. Saya tidak pernah sekalipun berjumpa, jauh
sekali berbincang dengan pihak itu (pembangkang),” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keutamaannya kini adalah membantu rakyat sepertimana yang diamanahkan kepadanya oleh Umno.
Semalam, laman sosial pembangkang memuat naik kenyataan yang menyebut
bahawa Ayub akan berhijrah ke PPBM dan telah mengadakan beberapa siri
perbincangan bagi merangka strategi yang lebih tersusun.
ADUN Senggarang, Abdul Aziz Ismail yang dipetik Malaysiakini semalam turut menafikan desas desus beliau akan berhijrah ke PPBM.
Abdul Aziz yang dipetik portal berkenaan turut menyifatkan dakwaan
berkenaan sebagai karut, selain berkata beliau berbangga menjadi wakil
rakyat BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan