Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah yakin Barisan
Nasional (BN) akan terus mengekalkan tampuk pemerintahan negara pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) meskipun berdepan saingan tiga penjuru.
Katanya, rakyat kini makin sedar kemelut berpanjangan dalam parti
pembangkang terutamanya Pakatan Harapan, tidak akan menguntungkan mereka
berbanding apa yang ditawarkan BN.
"Pada pandangan peribadi saya lihat BN konsisten berdiri teguh untuk
menghadapi PRU, kita bukan kali pertama tapi ini merupakan kali ke 14
kita bertanding PRU.
"Jadi selama ini pun kita dah beritahu bahawa kita tak kisah tiga
penjuru atau lebih..yang pasti jentera BN akar umbi adalah konsisten
untuk hadapi PRU," katanya kepada Antarapos.
Justeru Armand berkeyakinan dengan kekuatan jentera pilihan raya dan
faktor calon yang bertanding akan memberi kelebihan kepada BN untuk
mengekalkan penguasaannya di peringkat Pusat.
"Bagi saya kalau kita lihat secara positif apabila percakaran antara
Pakatan Harapan dan PAS sepatutnya mereka yang ditanyakan cabaran mana
yang patut mereka risaukan.
"Hari ini kita lihat bukan sahaja PAS berlawan dengan Pakatan tetapi
Pakatan sendiri pun ada masalah dalaman seperti yang kita lihat dalam
forum Otai Reformasi baru-baru ini di mana penyokong tegar Pakatan tidak
setuju dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad)," katanya.
Beliau menambah program transformasi serta kepimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti kejayaannya yang akan menjadi
tunjang sokongan rakyat pada PRU14 nanti.
"Persoalan yang saya nak lemparkan sebenarnya bukan BN yang takut tapi
sepatutnya mereka yang perlu risau kerana sehingga ke hari ini gagal
menunjukkan kesepakatan mereka.
"Yang nampak sokongnya pimpinan peringkat atasan tetapi pada penyokong
di bawah merasakan diri mereka telah ditipu oleh pemimpin mereka,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan