Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau tidak tahu menahu perihal anggota lantikan politik partinya di Kelantan tidak menerima bayaran mengikut masa yang dijanjikan daripada kerajaan negeri.
"Saya tak tahu... (tetapi) kita akan mendapatkan maklum balas dari
pimpinan Kelantan dalam masa terdekat dan kita akan beri nasihat
sewajarnya untuk kepentingan semua pihak," ujarnya ringkas ketika
ditemui pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.
Hari ini, PAS Kelantan menerusi Setiausahanya, Datuk Che Abdullah Mat
Nawi menafikan dakwaan kerajaan negeri gagal membuat bayaran tunggakan
kepada 75 wakil PKR yang dilantik secara politik.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
beberapa hari lalu sebagai tidak munasabah, selepas Presiden PKR itu
mendakwa wakil partinya di Kelantan tidak dapat melepaskan jawatan
kerana masalah terbabit.
Wan Azizah pada Selasa lalu mendakwa lantikan politiknya di Kelantan
masih menunggu tunggakan bayaran, dan menyebabkan arahan meletakkan
jawatan tidak dapat dilakukan serta-merta.
Memetik kenyataannya di Utusan Malaysia hari ini, Che Abdullah juga
berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 setahun untuk setiap
DUN, malah elaun lantikan politik PKR di Kelantan juga dijelaskan tanpa
sebarang tinggakan.
Exco kerajaan negeri itu juga menegaskan peruntukan disalurkan kepada rakyat tanpa menggunakan wang mana-mana penyelia DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan