Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyatakan
sepenuh kepercayaannya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
sungguhpun mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba
menimbulkan keraguan terhadap timbalannya itu.
Ujar Najib, beliau yakin Zahid tidak akan melakukan perkara seperti yang diperkatakan Dr Mahathir akhir-akhir ini.
Sambil mempertahankan Ahmad Zahid, Najib berkata Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu sengaja mahu melaga-lagakan beliau dan Zahid bagi
memecah-belahkan Umno.
"Dia banyak tak betul, kita boleh lihat satu persatu, bila dia gagal
melalui parlimen, pengundi tak percaya lepas itu dia cuba melalui Umno
bahagian pun tak boleh sekarang ni dia cuba pulak nak melagakan saya
dengan Datuk Seri Zahid, Timbalan Perdana Menteri.
"Saya pertahankan Datuk Zahid daripada mula sebab dia rakan saya, rakan
sahabat dalam perjuangan, susah-senang dia saya yang tau.
"Dia dah bersama saya sejak tahun 1986, susah senang bersama. Saya
pernah pertahankan Datuk Zahid di dalam bahagian dia, di Bagan Datoh
(iaitu) Ketua Pemuda," katanya sewaktu berucap merasmilan mesyuarat
perwakilan Umno Bahagian Shah Alam petang tadi.
Tambah Najib, adalah mustahil untuk Ahmad Zahid mengkhianati beliau
sedangkan Dr Mahathir sendiri pernah menahannya ketika menjawat jawatan
sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.
"Datuk Zahid ni satu ketika Ketua Pemuda Umno Malaysia, bertaraf Naib
Presiden Umno tetapi dimasukkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA).
"Sebab itu tak masuk akal lepas jadi Timbalan Perdana Menteri dia nak
jumpa Dr Mahathir pula minta sokongan supaya Dr Mahathr gulingkan saya,
tak mungkin dan tak betul dan fitnah sama sekali," katanya lagi.
Dr Mahathir baru-baru ini menulis di blognya mendakwa Ahmad Zahid
menemuinya untuk meminta sokongan bagi menggantikan Najib sebagai
perdana menteri.
Lanjutan daripada tuduhan Dr Mahathir itu, Ahmad Zahid semalam
menegaskan beliau bersedia untuk bersumpah laknat berhubung
pendedahannya tentang konspirasi menjatuhkan Najib.
Akhbar melaporkan Ahmad Zahid mengakui mempunyai rakaman yang
membuktikan dirinya tidak terlibat dalam sebarang konspirasi untuk
menjatuhkan Najib seperti yang didakwa pembangkang.
Naib Presiden yang juga menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno
itu berkata, pertemuannya dengan seorang bekas pemimpin parti yang
berlangsung pada 2015 itu juga atas keizinan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan