KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun bersembunyi di negara ini,
sekumpulan anggota militan Abu Sayyaf termasuk orang kanan kumpulan itu
yang disyaki merancang serangan ketika majlis penutupan rasmi Sukan SEA
2017 dan sambutan Ambang Merdeka di Stadium Nasional ditahan dalam
serbuan di Cheras, pada Rabu lalu.
Kesemua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada enam rakyat tempatan
dan dua warga Filipina berusia antara 25 tahun sehingga 52 tahun.
Penahanan tersebut merupakan hasil risikan dan maklumat Bahagian
Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sebelum melancarkan
serbuan terhadap tiga buah rumah di sekitar Cheras sekali gus
menggagalkan rancangan tersebut.
Menurut sumber, dua warga Filipina yang ditahan dikatakan telah
menyelinap masuk ke negara ini menggunakan dokumen palsu pada Disember
2015 melalui kepulauan Basilan di selatan Filipina menuju ke Sandakan,
Sabah dan bersembunyi di ibu negara.
“Ketika serbuan, keenam-enam rakyat Malaysia yang berasal dari Sabah
yang ditahan itu dipercayai bertindak menyembunyikan dan melindungi dua
anggota Abu Sayyaf warga Filipina tersebut.
“Selain itu, hasil siasatan lanjut juga mendapati rumah yang mereka
tinggal itu adalah milik kepada salah seorang suspek rakyat tempatan
yang ditahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber, siasatan lanjut terhadap dua warga Filipina terbabit
mendapati salah seorang daripadanya telah mengakui pernah bertempur
bersama-sama kumpulan Abu Sayyaf pada 2015.
Katanya, suspek yang juga merupakan orang kanan kumpulan terbabit turut
mengakui pernah terlibat dalam penculikan membabitkan enam tebusan
beragama Kristian selain bertindak menyembelih salah seorang mangsa
berkenaan di Selatan Filipina.
“Siasatan lanjut, suspek tersebut juga mengakui ada bertemu Dr. Mahmud
Ahmad seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) yang diburu polis
kerana terlibat dalam aktiviti militan di negara-negara bergolak di
Basilan pada September 2015.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi memperoleh kaitan
enam rakyat Malaysia yang ditahan dengan kedua-dua anggota Abu Sayyaf
tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika
dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut bagaimanapun enggan
mengulas mengenai perkara itu.
“Satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini. Ya saya
mengesahkan satu serbuan telah dilakukan oleh pasukan E8 Bukit Aman dan
tunggu biar kami siasat,” katanya.
Hari ini sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan lapan
individu dipercayai anggota Abu Sayyaf ditahan termasuk seorang pemimpin
kanannya, Hajar Abdul Mubin, 25, atau dikenali sebagai Abu Asrie dan
seorang lagi Abraham Embong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan