KUALA LUMPUR: Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan
merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan menerusi siri dialog
Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan tidak akan menunggu sehingga 2050 untuk
melaksanakan input-input yang disuarakan menerusi siri dialog TN50,
tetapi berusaha merealisasikannya secara berperingkat.
"Dialog TN50 ini (membincangkan hal-hal) bagi membuat perubahan pada
masa akan datang, tetapi ada aspek tertentu yang kita perlu laksanakan
pada masa ini.
"Sebagai contoh, perubahan dilakukan dalam bidang pendidikan hanya akan
dapat dilihat hasilnya pada dua tiga generasi akan datang," katanya
ketika sesi dialog TN50 dan sambutan Hari Wanita Kebangsaan di sini,
pada Isnin.
Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut memberikan bayangan beberapa
berita baik akan diumumkan khusus bagi wanita pada pembentangan
belanjawan itu, yang dijadual pada 27 Okt.
"Saya tidak mahu beritahu sekarang," katanya.
Perdana Menteri berkata Bajet 2018 mengambil kira hasil pendapatan
negara sebelum memutuskan untuk mengeluarkan sebarang peruntukan.
Menyifatkan pengurusan belanjawan negara seperti menguruskan
perbelanjaan rumah tangga, Najib berkata kerajaan tidak boleh
membelanjakan kesemua wang yang ada kerana jika kerajaan berbuat
demikian, ia bakal berdepan masalah kewangan.
"Kalau semua nak tambah peruntukan, duit bukan datang dari langit. Kita
perlukan hasil untuk negara, sebab itu kita laksanakan GST (cukai
barang dan perkhidmatan).
"Kalau kita hapuskan GST yang banyak digunakan untuk (membiayai)
keperluan rakyat terutama wanita seperti program kesihatan dan
kemahiran, apa lagi yang boleh kita buat?" katanya.
Justeru, Najib meminta rakyat supaya tidak termakan dengan kata-kata
pembangkang yang mahu hapuskan GST kerana ia hanya cakap kosong untuk
meraih sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan