Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Ketua AMK Kelantan yang baru Mohd Khairul Amin Abd Rahman
dan bekas ketuanya Dr Mohd Hafidz Rizal Amran perlu mengadakan
perjumpaan 'empat mata' bagi menyelesaikan sebarang perbalahan antara
mereka.
Pengarah Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata Khairul
Amin dan Mohd Hafidz Rizal perlu bersemuka tanpa kehadiran orang ketiga
yang bertindak sebagai faktor pendamai.
"Bagi saya kedua-dua pemimpin muda ini ada pengaruh, jadi gunakan pengaruh yang ada itu untuk kebaikan rakyat.
"Bertemu dan berbincang bagaimana nak buat sebab kita pun nak hadap
pilihan raya, kalau kita bergaduh rakyat memerhatikan jadi dalam tempoh
masa yang ada ini baik kita berjumpa dan berbincang," katanya kepada
Antarapos.
Beliau berkata bagi tujuan menyelesaikan perbalahan itu, perlu ada
pihak yang memulakan langkah pertama bagi menyatukan kembali hubungan
antara mereka.
"Jadi orang kata buangkanlah yang keruh sebab bagi saya pergaduhan
antara puak dalam parti ini tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya hanya
merugikan.
"Jadi baik mengadakan pertemuan, kalau boleh dibawa berbincang kita bincang," katanya.
Kemelut politik PKR Kelantan berlarutan selepas Mohd Khairul Amin
sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan AMK negeri yang baharu bagi
menggantikan Dr Mohd Hafidz Rizal yang dipecat daripada jawatan itu.
Namun Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir enggan mengiktiraf Mohd
Khairul Amin dengan menganggap pelantikan oleh Ketua AMK Kebangsaan Nik
Nazmi Nik Ahmad itu dibuat tanpa mengikut Peraturan Tetap AMK Malaysia.
Sehubungan itu Ab Aziz mengambil pendirian untuk melantik kembali Mohd
Hafidz Rizal selaku koordinator untuk sayap AMK Kelantan.
Malah beliau menggesa semua AMK Cabang di Kelantan untuk memberikan
kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memperkukuhkan parti di
negeri ini.
Tiada istilah dua Ketua AMK Kelantan
Mengulas lanjut Mohd Sukirman turut menafikan bahawa pergerakan sayap
pemuda Kelantan diterajui dua ketua susulan pelantikan Mohd Hafidz Rizal
sebagai koordinator.
"Ia bukan dua ketua pada pendapat saya, Khairul dilantik Nik Nazmi
manakala Dr Hafidz selaku koordinator ini dilantik sendiri oleh
pengerusi negeri.
"Pada saya ia berlaku pertembungan dua pihak dan kedua-dua pihak ada kelompok pengaruh dan penyokong sendiri," katanya.
Tambahnya, konflik antara Khairul Amin dan Mohd Hafidz Rizal perlu
dipulihkan kerana bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil
kesempatan daripada keadaan itu.
"Perkara ini tidak akan berlaku kalau Nik Nazmi selaku Ketua Amk Pusat mengikut lunas peraturan yang betul.
"Kerana beliau tidak mengikut lunas peraturan AMK yang betul ia
seolah-olah mencabar kuasa negeri dan bila dah mencabar kuasa negeri itu
yang timbul masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan