KOTA BHARU: Polis menafikan khabar angin bahawa pihak berkuasa akan
mendakwa ibu bapa tujuh suspek utama yang membakar Pusat Tahfiz Darul
Quran Ittifaqiyah sehingga mengorbankan 23 nyawa, Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu
hanya bersifat spekulasi dan menegaskan ibu bapa suspek tidak mempunyai
kaitan dengan kes tersebut.
Sehubungan itu katanya, polis melihat tiada keperluan mendakwa mereka sebagaimana dihebohkan di media sosial.
“Itu spekulasi sahaja. Tidak perlu diperbesar-besarkan, ibu bapa, saya
fikir tidak ada kena mengena dalam kes ini. Kita kena buat saranan yang
adil dan sewajarnya.
“Diharap media dan semua pihak tidak buat spekulasi bukan-bukan
mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan
sambutan Hari Inovasi Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di
Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan
Ahmad Najmuddin Mohd. dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin
Hassan.
Dalam kejadian 5.15 pagi itu, 21 pelajar berusia 6 hingga 16 tahun
serta dua guru berusia 26 dan 25 tahun maut selepas terperangkap dalam
kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.
Susulan itu polis telah berjaya menahan tujuh remaja berusia antara 11
dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran berkenaan.
Polis percaya motif kebakaran pusat tahfiz itu adalah dendam yang
berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz tersebut
dan pihak luar.
Kesemua mereka yang tidak bersekolah direman selama tujuh hari sehingga 22 September untuk siasatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan