Sedih mengenangkan parti Keadilan Kelantan. Saya secara peribadi mengenali kebanyakan pemimpin awal parti ini. Bahkan pernah membantu menyediakan peralatan pejabat kepada parti ini.
Dalam pilihan raya tahun 1999 saya juga turut membekalkan poster calon dan poster parti, ada setengahnya dijual oleh salah seorang pemimpin parti itu di Kelantan.
Kerana hubungan peribadi itu, apabila melihat pergolakan dan pencakaran dalam parti itu menyedihkan perasaan. Saya tidak faham kenapa ini berlaku. Yang pastinya mereka yang menyertai parti ini khasnya di Kelantan tidak ada prinsip, mereka menyertai parti politik bukan bertolak dari nilai perjuangan sebenarnya.
Bukan sedikit yang masuk parti itu kemudian keluar. Ia lebih dari sedozan. Begitulah kalau masuk mana-mana parti dengan emosi bukan dengan fikiran, ia tidak akan kekal lama.
Dan kejadian ini terus berlaku sampai sekarang ini. Saya tidak faham kenapa ia berlaku dan terus berlaku.
Jika ditanya kepada yang keluar atau pun bercakaran yang berlaku sekarang ini tentu ada yang meletakkan kesalahan kepada Abd Aziz Kadir pengerusi Keadilan Kelantan kini. Semuanya melemparkan kesalahan kepada Aziz. Seolah-olah Aziz jadi puncanya.
Dan masalah atau pergaduhan dalam Keadilan Kelantan ini berlaku semuanya berpunca atau diletakkan kesalahan kepada pengerusi. Zaman Nik Mahmod jadi pengerusi, Saufi Daud jadi pengerusi, ia dikatakan berpunca dari pengerusi. Apa yang tidak kena dengan pengerusi. Bagi saya, pengerusi bukan masalah sebenarnya. Yang jadi masalah ialah apabila ada ahli yang tidak kuat semangat yang angin tohor, inilah masalahnya.
Saya bukan hendak bela Aziz dalam hal ini, tetapi mengenali perwatakannya, tidak sepatutnya kalau kesalahan itu dipangungkan di atas bahunya.
Saya tidak fikir Aziz mentadbir parti secara kukubesi sehingga membelakangkan peraturan dan perlembagaan. Kesalahan ialah terletak kepada mereka bercita-cita besar, lebih mementingkan diri sendiri. Aziz akur kepada arahan dan taat kepada ketua, kalau dia silap maka kesilapan berpunca dari atas yang perlu difahami.
Sudah acap kali Aziz menyatakan dia tidak berdaya untuk memimpin parti. Parti sendiri sudah mencari-cari orang yang hendak diserahkan jawatan itu, tetapi tidak ada. Aziz memegang jawatan itu kerana amanah dan tanggungjawab. Saya yakin kalau ada orang dipercayai pucuk pimpinan Aziz tidak akan menunggul di situ. Tetapi kenapa dia masih disitu kerana orang atasan mempercayainya.
Dia pun tentu serabut berdepan dengan kritikan, kata nesta atau pun amalan politik babil. Babil bukan babi tidak tertahan olehnya.
Kalau hendak henjuk Aziz pun jangan terlalu kuat sangat. Kita bimbang bukan ranting yang patah takut dahan yang sekah. Dekat-dekat pilihan raya ini kalau pokok Keadilan tumbang, nyanya. Kalau melarat sangat bila-bila masa Aziz boleh meninggalkan parti.
Saya selalu memperli Keadilan di Kelantan bukan hari tetapi dari dulu lagi. Ia parti kecil tetapi berjiwa besar dalam bergaduh dan berpuak-puakkan. Inilah kehebatan Keadilan negeri Kelantan. Parti gear bergonjang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan