Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Umno Selangor menyelar kenyataan Menteri Besar Datuk Seri
Azmin Ali yang cuba memperlekehkan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dalam menangani gejala rasuah.
Menurut Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang Datuk Sulaiman Abd.
Razak, sekiranya kerajaan negeri mempunyai inisiatif yang lebih baik
tapi mengapa Selangor masih lagi terpalit dengan gejala berkenaan.
"Dia tak berpijak di bumi nyata, di Selangor kita lihat banyak
tangkapan-tangkapan rasuah PBT, bukan setakat baru-baru ni.
Sebelum-sebelum ni pun banyak, kalau dia kata dia ada cara lebih baik
maknanya Selangor ni bebas rasuahlah daripada dulu. Yang melibatkan PKR
sendiri, Adam Rosly," katanya kepada Antarapos.
Sulaiman berkata demikian bagi mengulas dakwaan Azmin bahawa tindakan
Selangor memerangi rasuah lebih efektif berbanding menandatangani Indeks
Bebas Rasuah (IBR), inisiatif yang digerakkan SPRM.
Azmin semalam juga mendakwa, kerajaan negeri juga ada mengusulkan
penambahbaikan terhadap cadangan IBR untuk diteliti sebelum melafaz
ikrar tersebut.
Untuk rekod, SPRM ada melakukan serbuan terhadap Universiti Selangor
(Unisel), pejabat Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Jana Niaga Sdn
Bhd (JNSB) selepas ada laporan penyelewengan dibuat.
SPRM mendapat laporan bahawa MBI membuat bayaran sebanyak RM16 juta
kepada kontraktor Unisel, iaitu JNSB sedangkan syarikat berkenaan telah
ditamatkan perkhidmatannya ketika itu.
Bayaran itu dikatakan dilulus oleh Pendidikan Industri YS Sdn Bhd yang
dipengerusikan Azmin kepada JNSB pada 9 Mac 2015 dan 24 Jun 2016
Bukan itu saja, Sulaiman yang merupakan ADUN Permatang juga turut
mempersoalkan cara yang digunapakai kerajaan negeri itu, daripada segi
pelaksanaan dan pemantauan.
"Kalau Selangor ada cara-cara tu, siapa yang akan memantau? Siapa yang
boleh melihat samada cara-cara tu betul berkesan atau benar. Siapa yang
ambil tindakan kalau kes rasuah berlaku," soal beliau.
Sulaiman juga turut menasihatkan Azmin supaya tidak mempolitikkan usaha
SPRM dan berlapang dada melafaz ikrar seperti mana yang telah dilakukan
di dua negeri pembangkang.
"Menteri Besar ni semua perkara nak dipolitikkan, sampai kes rasuah
pun. Segala-galanya hidup menteri besar ni penuh dengan politik.
"Itu satu kenyataan yang tak sepatutnya keluar daripada seorang ketua
kerajaan. Kerana semua kerajaan-kerajaan yang dibawah pakatan (iaitu)
Kelantan dan Pulau Pinang (dah lafaz)," ujar beliau.
Sementara itu, beliau memberitahu Umno Selangor bakal membawa usul
lafaz ikrar ini kepada sidang DUN yang akan datang untuk dibahaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan