PUTRAJAYA: Kerajaan mencadangkan agar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)
dipinda bagi memasukkan soal pendaftaran dan pengawalan sekolah agama
persendirian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata
demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan
Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz hari ini.
Menurut Zahid, perkara itu akan dibincangkan dengan wakil-wakil kerajaan negeri sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
"Kerajaan pusat akan berbincang dengan kerajaan negeri kerana kita
perlu menghormati perkongsian kuasa dimana hal-hal berkaitan agama
dibawah pemantauan kerajaan negeri," katanya.
"Kami tidak berniat untuk mengambil alih kuasa kerjaan negeri dan juga
yang di-Pertuan Agong. Biarpun sekolah-sekolah agama dan maahad tahfiz
ini dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi kerajaan pusat
mengambil peduli kerana kita tidak boleh melihat adanya ketidakpedulian
oleh maahad tahfiz yang menyebabkan kematian," katanya dipetik Astro
Awani.
Cadangan itu merupakan antara langkah proaktif yang dikemukakan dalam
mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu
keselamatan.
Pindaan itu juga membolehkan kerajaan Persekutuan untuk menyelaras
pentadbiran dan memberi bantuan kewangan kepada sekolah terbabit.
Tambahnya mesyuarat turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa
penyelarasan bersifat kekal bagi memantau pengurusan Sekolah Agama
Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok agama di seluruh negara.
Ketika ini terdapat 940 maahad tahfiz swasta dengan lebih 150,000
pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia namun hanya
612 yang berdaftar dengan kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan.
"Ini bermakna 321 maahad tahfiz tidak berdaftar atas alasan khuatir
kononnya kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan mahu ambil alih
(pusat) tahfiz mereka," tambahnya.
Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz ditubuhkan susulan tragedi
kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung,
Khamis lalu.
Tragedi menyayat hati yang berlaku ketika waktu subuh itu mengorbankan
21 pelajar dan dua warden selepas terperangkap di tingkat atas bangunan
setinggi tiga tingkat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan