Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar
bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berhubung
kenyataan ahli DAP itu yang mengaitkan bantahan pesta arak dengan amalan
poligami.
Tegas Mohd Asri, arak sememangnya memberi kesan buruk kepada manusia
sehingga boleh menjerumuskan kepada pelbagai perlakuan yang bertentangan
dengan agama seperti penzinaan.
"Kalau seseorang enggan atau tidak setuju pesta arak bukan bererti dia
enggan dan menolak hiburan. Betapa banyak golongan beragama yang turut
berhibur dan bernyanyi dengan cara yang santun.
"Bukan sahaja mereka bernasyid dan bersolawat, tetapi mereka juga boleh
menyanyi dan menari dengan kadar kesopanan sebagai manusia waras.
"Apa kaitan pula poligami yang halal dengan pesta arak? Tidakkah pesta
arak itu menjerumus kepada perzinaan dengan wanita yang pasti mencemar
kehormatan di sisi semua agama. Sementara poligami yang bertanggungjawab
mempunyai peraturan dan kewajipan sebagai suami dan isteri," katanya
dalam status di laman Facebook.
Status itu ditulis bagi membalas kenyataan Zaid yang mengaitkan
bantahan pesta arak digerakkan oleh kumpulan 'sama', dipercayai merujuk
kepada golongan agamawan.
Zaid juga menyifatkan kumpulan yang membantah pesta arak sebagai
golongan yang menolak hiburan namun dalam masa sama lebih suka
mengamalkan poligami.
Tambah Mohd Asri, adalah hak mereka yang bukan beragama Islam untuk
meminum arak, namun demikian penganjuran pesta seumpamanya boleh
memberikan kesan negatif kepada masyarakat awam.
"Sebagai orang muslim patut ada etika ketika memberi pandangan berhubung dengan perkara yang jelas seperti ini," ujarnya lagi.
Bagaimanapun dalam status terbarunya, Zaid kembali membidas Mohd Asri
dan berkata, pandangannya itu adalah kerana beliau percaya kepada konsep
demokrasi dan menghormati kebebasan membuat pilihan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam memutuskan untuk menolak
permohonan penganjuran pesta arak Better Beef Festival 2017 yang
dijadualkan berlangsung di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz,
berkata pihaknya menolak permohonan penganjuran pesta arak itu kerana ia
disifatkan sebagai satu program yang sensitif, sekali gus mampu
menimbulkan kemarahan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan