KUALA LUMPUR: PKR perlu menarik semua tuduhan yang dibuat pimpinan
parti itu kepada PAS sebelum mahu berunding semula dengan mereka.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali,
mempersoalkan mengapa PKR mahu berunding semula selepas menyerang PAS
dan Presiden parti itu.
Katanya, perkara itu menimbulkan banyak tanda tanya.
"Setakat ini, tidak ada sebarang perbincangan dengan PKR. PAS kekal
seperti keputusan sebelumnya iaitu bertanding pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan
pembangkang.
"Kita akan bertegas dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara,"
katanya mengulas kemungkinan PAS dan PKR akan berunding semula
menjalinkan hubungan kerjasama untuk PRU-14.
Baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam suratnya
mahu hubungan PKR dengan PAS diteruskan selagi parti Islam itu bersedia
untuk meneruskan perbincangan.
Pada minggu lalu, pakatan pembangkang memutuskan untuk tidak
bekerjasama dengan PAS. Keputusan itu dibuat sebelum kenyataan Anwar
dikeluarkan.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, memilih untuk senada dengan pendirian Anwar.
Ditanya sama ada PAS bersedia berunding jika PKR bertegas mahu
menjalinkan kerjasama, Mohd Khairuddin berkata; "Berkahwin tak boleh
seorang atau bertepuk sebelah tangan. Selepas menyerang PAS dengan
pelbagai tuduhan, tiba-tiba hendak berunding?."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan