KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk menjadi negara maju, bukan lagi
angan-angan atau bualan kosong semata-mata berikutan negara ini bakal
tersenarai sebagai sebuah kuasa ekonomi ke-24 terbesar dunia pada 2050.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat beberapa
faktor yang menentukan ekonomi sesebuah negara dan pencapaian Malaysia
itu termasuklah tahap keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta keyakinan
pelabur asing ke atas keteguhan ekonomi.
"Laporan daripada syarikat perkhidmatan profesional antarabangsa, PwC
menyebut Malaysia akan tersenarai sebagai kuasa ekonomi ke-24 terbesar
di dunia pada 2050. Inilah hasil kajian berdasarkan peningkatan KDNK dan
keyakinan pelabur asing ke atas ekonomi negara," kata Najib dalam
blognya, Najibrazak.com, hari ini.
Najib berkata, KDNK Malaysia pada suku pertama melangkaui jangkaan
pakar ekonomi iaitu 5.6 peratus dan sekali lagi meningkat pada suku
kedua ke paras 5.8 peratus.
Paras KDNK ini lebih tinggi daripada suku pertama tahun lepas sebanyak empat peratus.
Perdana Menteri berkata, pencapaian ini secara langsung menguntungkan
rakyat kerana hasil ekonomi yang semakin kukuh membolehkan kerajaan
menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat seperti membina
lebih banyak hospital dan klinik selain memberi bantuan kebajikan kepada
golongan yang kurang bernasib baik.
"Hakikatnya peningkatan ekonomi sesebuah negara tidak berlaku dalam
sehari atau dalam tempoh yang singkat. Ini mengambil masa yang panjang
dan perancangan yang teliti namun, boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.
"Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan unsur atau pihak yang
cuba meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini kerana inilah tanah
air kita," kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan