HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 September 2017

Malaysia tolak kenyataan Pengerusi ASEAN isu Rakhine

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia enggan terbabit dan tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Pengerusi ASEAN berhubung situasi kemanusiaan di Rakhine di New York.
 
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menegaskan kenyataan itu tidak mencerminkan situasi sebenar apa yang berlaku di Rakhine.
 
"Dalam hal ini, Malaysia sudah menyatakan keprihatinan dalam isu ini tetapi tidak diterjemahkan dalam Kenyataan Pengerusi. Justeru, Kenyataan Pengerusi bukan sesuatu yang konsensus. Kenyataan itu juga tidak menyatakan penduduk Rohingya adalah komuniti yang terjejas.
 
"Sementara Malaysia mengutuk serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos lalu oleh Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA), 'operasi pembersihan' pihak berkuasa Myanmar adalah melampau kerana menyebabkan kematian orang awam dan menyebabkan lebih 400,000 penduduk Rohingya hilang tempat tinggal," katanya dalam satu kenyataan.
 
Anifah berkata, Malaysia bimbang dengan kekejaman di Rakhine yang mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar yang menuntut tindakan masyarakat antarabangsa.
 
"Malaysia mendesak kerajaan Myanmar untuk menamatkan keganasan, menghentikan kemusnahan harta dan nyawa, membenarkan dengan segera penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Rohingya dan komuniti yang terjejas serta menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.
 
"Penyelesaian jangka panjang dan berkesan terhadap punca konflik ini mesti dicari bagi memastikan penduduk Rohingya dan komuniti yang terjejas dapat membina semula kehidupan.
 
"Kami juga mendesak Myanmar memenuhi komitmen melaksanakan segera segala syor laporan akhir Suruhanjaya Penasihat Rakhine. Malaysia sudah menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 September lalu dan akan meneruskan usaha itu," katanya.
 
 

Tiada ulasan: