Roketkini.com
GEORGE TOWN: Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah gagal memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan Islam negeri itu.
Faktanya, sejak tahun 2008 hingga 2016, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menyumbang sejumlah RM57.64 juta bagi pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Jumlah ini hampir tiga kali ganda melebihi sumbangan sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan jumlah RM20.11 juta dari tahun 1999 hingga 2007.
Setiausaha Penerangan HARAPAN Pulau Pinang, Zulkifli Mohamed, pada Jun 2016, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbang RM15 juta untuk pembangunan Pusat Pendidikan Islam At-Itqan, Teluk Kumbar.
“ Kerajaan negeri juga menyumbang RM1.75 juta secara tahunan kepada institusi pendidikan Islam melibatkan sekolah kafa, sekolah agama rakyat, tadika Islam (Tadis), maahad tahfiz dan pondok meliputi Bantuan itu membabitkan tambahan elaun guru, penambahbaikan prasarana dan pembelian alat bantuan mengajar,” katanya.
Jumlah itu menurutnya, tidak termasuk sumbangan khas dan bonus tahunan kepada guru, pelajar dan kakitangan sekolah, pondok, Tadis dan tahfiz serta sumbangan tahunan kepada para hufaz berjumlah RM500 seorang, melalui program Ijtimak dan Anugerah Al-Hufaz anjuran kerajaan negeri sejak 2008.
Angka-angka ini katanya sekaligus menafikan fitnah yang semakin menjadi-jadi terhadap pentadbiran cemerlang berkaitan hal ehwal Islam negeri tersebut.
Tegasnya, tohmahan kononnya kerajaan negeri anti, benci dan cemburu terhadap institusi agama, sebagaimana tohmahan oleh Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Yusni Md Piah adalah berniat jahat.
“Rekod Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sejak 2010-2017 membuktikan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) telah menerima sumbangan hampir setengah juta iaitu RM414,910,00 dan Sekolah Rendah Islam Al-Ansar (SRIA) sebanyak RM 196,610.00,” jelasnya.
Bukti ini kata Zulkifli sekaligus menolak fitnah yang dicanang Yusni, kononnya kerajaan negeri tidak menyalurkan sumbangan kepada kedua-dua sekolah berkenaan.
“Jika benci sekalipun kepada kerajaan negeri, kerana berbeza fahaman politik, janganlah sehingga mengadu domba dan menabur fitnah.
“Sepertimana fitnah kononnya Pulau Pinang melarang azan, malah sehingga sanggup menghukum untuk mengebumikan orang Islam di jirat. Sesungguhnya dosa fitnah lebih besar daripada membunuh,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan