Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Pusat tidak menolak wujud usaha pihak
tertentu dalam mempromosikan kehidupan 'Lesbian Gay Bisexual
Transgender' (LGBT) atas nama kebebasan dan hak asasi di negara ini.
Justeru Naib Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, pesta gay
yang dijadual diadakan di ibu negara pada 30 September ini merupakan
siri eksperimen pihak liberal untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat
berlangsungnya acara songsang.
"Provokasi ini lanjutan dari pelbagai penganjuran seumpama termasuk
pesta arak, bogel dan maksiat lain yang cuba ditaja dalam skala besar
dan didalangi oleh kepentingan tertentu," katanya dalam satu kenyataan
media hari ini sempena sambutan Maal Hijrah.
Parti muzik gay yang diberi nama ‘White Party’ itu sebagai "pemanas
badan" sebelum acara di Bangkok selama tiga hari bermula 28 Disember.
Berdasarkan poster dan laman web, pesta tarian ini adalah anjuran DivineBliss Malaysia.
Difahamkan, penganjur menjemput semua ahli komuniti LGBT dan gay dari
seluruh negara untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan pesta ini.
Penganjur menetapkan acara ini terhad kepada mereka yang berumur 21 tahun ke atas sahaja.
Tegas Ahmad Fadhli lagi, kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
dan jabatan agama Islam perlu lebih sensitif terhadap perkembangan ini
dengan melaksanakan pemantauan berterusan.
Malah beliau turut memberi contoh ketegasan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) yang menolak permohonan pesta arak baru-baru ini wajar
diberi pujian.
Tambah beliau, pesta ini merupakan desakan dan cubaan pihak tertentu untuk menjadikan ia sebahagian gaya hidup masyarakat.
"Hakikatnya ia adalah perbuatan tidak bermoral, terkutuk dan hilang
pedoman dari fitrah sebenar kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah
S.W.T sebagaimana kutukan-Nya terhadap kaum Nabi Luth A.S.
"Paling nyata, kehidupan seperti inilah kancah merebaknya penyakit
sosial lainnya seperti seks bebas, pengambilan dadah dan alkohol,
kepincangan rumah tangga, kelemahan prestasi kerja serta jenayah," ujar
beliau.
Semalam kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi menegaskan, acara berkenaan tidak akan dibenarkan kerana ia
disifatkan sebagai bertentangan dengan norma hidup masyarakat Malaysia.
Bukan itu saja, ia juga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.
Sehubungan itu beliau akan mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk
tidak memberikan visa dan kebenaran kepada mereka yang terlibat dengan
penganjuran parti itu untuk memasuki Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan