Sakaran Dandai yakin anugerah itu akan menjadi ikatan
kuat dan menyemai kasih sayang serta persaudaraan antara rakyat
Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri dan yang dipertua negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, 87, diumumkan Tokoh Maal Hijrah pada sambutan Maal Hijrah 1439H peringkat kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.
Sakaran berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di Sabah dan anggota Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) yang diketuainya.
Beliau yakin anugerah itu akan menjadi ikatan kuat dan menyemai kasih sayang serta persaudaraan antara rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam mengharungi dunia serba mencabar ketika ini.
“Perpaduan adalah kunci utama untuk kita mencapai nikmat kehidupan bermasyarakat dan bernegara sebagaimana dicontohi Rasulullah,” katanya.
Sakaran yang dilahirkan di Semporna pada 15 April 1930 mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna dari 1937 hingga 1941, selain belajar di Government Vernacular School, Semporna.
Hasil perkahwinan dengan Toh Puan Siti Rukaiyah Panglima Abdullah, mereka dikurniakan 7 anak.
Antara sumbangan beliau dalam memartabatkan syiar Islam adalah mengasaskan pembukaan Rancangan Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan Lihak-lihak serta pengasas Pondok Remaja Inabah Kamal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan