Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Melawati hari ini menyuarakan bantahan
mereka terhadap tindakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor
membina pusat konvensyen di tanah yang sepatutnya dijanjikan pusat
kemudahan infrastruktur kegunaan penduduk.
Taman Melawati merupakan salah satu kawasan yang diwakili oleh Menteri
Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Parlimen Gombak.
Kawasan itu juga diwakili Saari Sungib selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang.
Bantahan itu diadakan di hadapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak,
berhadapan pusat beli belah Melawati yang sebelum ini juga mendapat
bantahan daripada penduduk sekitar.
Cadangan pembinaan pusat konvensyen berkeluasan 3.37 ekar itu di atas
sebidang tanah, yang ketika ini menempatkan gelanggan futsal, dan
bersebelahan dengan pejabat khidmat wakil rakyat Azmin.
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan ABC, Taman Melawati, Razman Hakimi
Abdullah berkata pihak penduduk hanya mengetahui cadangan pembinaan
pusat konvensyen itu pada penghujung Mei lalu.
Sime Darby Sdn Bhd merupakan pemaju bertanggungjawab membina pusat
konvensyen itu, juga pemaju yang sama menaikkan pusat beli belah
Melawati.
"Sedangkan dataran ini dijanjikan oleh pemaju Sime Darby sejak lima
tahun. Penduduk di sini hanya mendapat tahu akan ditutup untuk menaikkan
pusat konvensyen. Kita tak perlukan lagi pusat konvensyen sebegini,
kita sudah ada pun seperti Lembaga Juru Ukur yang besar, berdekatan
dengan pusta beli belah ini.
"Kami berpandangan Azmin kena fikir perkara ini. Kami semua penduduk di
sini, hendak menjadikan Taman Melawati ini persekitaran hijau," ujar
Razman.
Lebih memburukkan keadaan dan menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk
di kawasan berkenaan adalah, segala aduan yang diajukan kepada pihak
kerajaan tempatan tidak diambil endah.
Sehubungan itu Razman memberitahu, pihaknya akan menghantar satu
petisyen membantah pembinaan pusta konvensyen itu pada Isnin ini.
"Penduduk akan menghantar petisyen kepada Azmin, Saari dan Majlis
Perbandaran Ampang Jaya pada Isnin ini untuk tindakan lanjut," ujarnya
kepada pemberita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan