SHAH ALAM: Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) hari ini mempertahan kenyataan
yang dikeluarkan Ketua Pengarahnya berhubung Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) mengenai kerugian yang dialami Bank Negara di pasaran Forex
lewat 1980-an hingga 1990-an.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, JASA mempersoal bagaimana
kenyataan Datuk Mohd Puad Zarkashi boleh mendatangkan kesalahan
mengancam, menghina atau mencederakan saksi dianggap pelik dan
melucukan.
JASA berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas hakim Mahkamah
Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dibuat terhadap Puad.
“Setidak-tidaknya Sri Ram sedar bahawa komen Mohd Puad itu bukan satu
penghinaan di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950,” kata
JASA dalam kenyataannya.
Selain itu, JASA menjelaskan, kenyataan Mohd Puad merupakan satu
pertanyaan serta menggunakan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas
penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Mohd Puad juga, menurut JASA, mempersoalkan siapa individu yang layak
dan berkuasa memberi kelulusan kepada Nor Mohammad yang ketika itu
menjadi pengurus bahagian biasa di Bank Negara untuk membuat dagangan
melebihi had iaitu melebihi AS$1 bilion sehari- berdasarkan kenyataan
saksi Azman Mat Ali.
“Sejak bila suatu pertanyaan dari orang awam boleh mengancam dan mencederakan saksi?
"Tidak masuk akal seorang pengurus biasa mempunyai kuasa membuat
dagangan melebihi AS$1 bilion sehari dan boleh meneruskan dagangan
sebesar ini bertahun-tahun lamanya biarpun selepas mengalami kerugian.
"Sebenarnya sikap Nor Mohamed sendiri yang bakal meletakkan dirinya dalam bahaya.
"Lebih-lebih lagi selepas lebih ramai saksi, termasuk menteri kewangan
ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kenyataan,” katanya
lagi.
Sri Ram dalam kenyataannya mendakwa, kenyataan Mohd Puad yang
mengatakan Nor Mohamed cuba melindungi Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung
skandal Forex boleh mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau
mencederakan saksi.
Sri Ram memetik Seksyen 12 (2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang
menyatakan bahawa "mana-mana orang yang mengancam, menghina atau
mencederakan orang lain yang memberikan keterangan, atau berdasarkan
keterangan yang telah diberikannya kepada pesuruhjaya, melakukan suatu
kesalahan dan boleh dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun."
Bekas hakim itu, bagaimanapun, berkata komen Mohd Puad itu mungkin
tidak termasuk dalam definisi penghinaan di bawah Seksyen 14 akta yang
sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan