KUALA LUMPUR: Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah enggan
berjumpa suspek dan ahli keluarga suspek yang didakwa dengan sengaja
membakar sekolah tahfiz berkenaan.
Pun begitu ujar Mohd Zahid Mahmood beliau memaafkan kesemua suspek yang kini ditahan reman polis untuk membantu siasatan.
"Saya tidak mahu jumpa suspek. Tak perlu untuk berjumpa mereka atau keluarga mereka.
"Tak perlulah jumpa mereka. Bukan berdendam. Saya maafkan mereka semua, seperti saya sentiasa memaafkan pelajar saya.
"Kita manusia harus saling memaafkan. Saya tak nak fikir panjang benda yang sudah jadi.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk pulihkan semuanya, semangat
anak-anak pelajar ini dan bagaimana kita nak bergerak ke depan. Saya
maafkan mereka," katanya.
Kata Mohd Zahid, apa yang dilakukan suspek, yang juga remaja berusia antara 11 tahun dan 18 tahun itu sudah 'tertulis'.
"Mereka hanya penyebab berlakunya perkara ini kerana jika boleh
diputarkan waktu, saya yakin mereka (suspek) juga tidak mahu perkara ini
terjadi... saya sendiri juga tidak mahu perkara sebegini berlaku.
"Tetapi perkara ini sudah 'tertulis'.. saya anggap ini adalah ujian
Allah kepada saya serta ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam
kejadian ini," katanya ketika ditemui di pekarangan pusat tahfiz
berkenaan, semalam.
Pada 14 September lalu, negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran di
pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 orang pelajar berusia enam hingga
18 tahun.
Turut terkorban dua guru tahfiz yang juga warden asrama yang berusia 25 dan 26 tahun.
Mohd Zahid dalam pada itu mengakui tidak menerima kunjungan daripada keluarga suspek sehingga hari ini.
"Kejadian ini memberi kesan yang amat besar kepada saya sendiri. Ada
ketika pada awal kejadian, saya sampai berasa seperti tidak mahu lagi
menguruskan pusat tahfiz.
Tetapi, inilah ujian Allah. Saya perlu kuatkan diri.
"Tumpuan saya sekarang adalah melihat ke depan...semangat semua,
terutama anak-anak di sini perlu dipulihkan," katanya sambil menambah
pusat tahfiz itu tidak mengenakan sebarang yuran atau bayaran kepada
pelajarnya.
Beliau berkata, di sebalik kedukaan yang dialami semua pihak, termasuk
orang ramai yang bersimpati dengan tragedi itu, ia mempunyai hikmahnya
sendiri.
"Ia seperti 'lilin membakar diri'. Satu kejadian yang insya-Allah memberi manfaat kepada banyak pihak.
"Kejadian ini membuka mata ramai pihak mengenai kebajikan pusat tahfiz di negara ini," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini mengumumkan
peruntukan khas berjumlah RM30 juta untuk mengemas kini maahad tahfiz
secara fizikal.
Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula melalui
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan memberi khidmat pemeriksaan
dan pembaikan sistem pendawaian secara percuma kepada pusat tahfiz di
seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan