KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat diarah melakukan siasatan
terhadap piawaian keselamatan disemua pusat tahfiz seluruh negara,
demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Arahan yang dikeluarkan Kabinet itu bagi memastikan kejadian kebakaran
di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kuala Lumpur baru-baru ini
tidak berulang.
Najib berkata berdasarkan siasatan itu nanti, mana-mana pusat tahfiz
yang tidak mematuhi piawaian akan diberikan tempoh untuk meningkatkan
tahap keselamatan pusat masing-masing dan jika gagal berbuat demikian,
pusat berkenaan akan diarahkan tutup.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang diberikan kepada pusat tahfiz untuk mematuhi piawaian yang ditetapkan.
"Sebab ini soal keselamatan anak-anak kita yang tidak boleh kita
kompromi dan saya setuju ini adalah 'time bomb' yang tidak boleh kita
pandang ringan.
"Ini soal nyawa anak-anak kita dan ini tanggungjawab kita, bukan soal
kuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri tetapi ini soal
keselamatan, kebajikan dan lebih-lebih lagi nyawa anak-anak kita,"
katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat
kebangsaan tahun 1439H/2017M hari ini.
Dalam kejadian 5.15 pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru
yang bertugas sebagai warden terkorban selepas terperangkap dalam
kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.
Sabtu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh
mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi
membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
Najib berkata, peristiwa yang berlaku kepada pusat tahfiz itu adalah
sesuatu yang amat menyedihkan dan kejadian itu masih menghantui
fikirannya sehingga ke hari ini.
"Saya tidak dapat percaya bahawa ada remaja dalam belasan tahun boleh
merancang perbuatan jenayah yang begitu teliti sehingga menyebabkan 21
pelajar tidak berdosa maut serta dua orang guru terkorban.
"Apalah dosa mereka? Takkanlah bergaduh sebab futsal boleh berlaku jenayah ini. Inilah yang menghantui fikiran saya," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
serta beberapa menteri kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan