KUALA LUMPUR: Penganjur Better Beer Festival 2017, Mybeer (M) Sdn Bhd
mahu berjumpa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas permit mereka
dibatalkan atas sebab keselamatan.
Mybeer berkata, tujuan pertemuan itu adalah untuk membentangkan sekali
lagi pelan kawalan keselamatan mereka yang diyakini memuaskan.
"Kami ingin menegaskan yang kami telah mengadakan pesta tahunan ini
sejak lima tahun lalu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini
sebelum, semasa dan selepas acara.
"Kami berharap DBKL dapat memberi peluang kepada kami untuk bertemu dan
membincangkan rayuan kami, serta memberi kebenaran acara ini
diteruskan," kata Mybeer dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 18 September lalu, DBKL menolak permohonan penganjuran pesta itu
yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Kuala Lumpur, tanpa
menyatakan sebab khusus.
Namun menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata
beliau diberitahu ketika mesyuarat kabinet yang keputusan DBKL itu atas
faktor keselamatan.
Dalam pada itu, Mybeer berkata mereka mengalu-alukan sebarang cadangan
DBKL bagi memastikan acara itu dapat berjalan dengan selamat.
"Seperti yang dilakukan sejak lima tahun lalu, kami akan mengadakan
pemeriksaan pengenalan dan keselamatan di setiap pintu masuk, dan
menempatkan pengawal keselamatan dan anggota Bulan Sabit Merah
secukupnya dan disokong polis bantuan bagi menjamin keselamatan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan