HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 September 2017

Pesta arak haram kerana khuatir serangan militan - Polis

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan acara Better Beer Festival 2017 diharamkan berikutan polis ada menerima maklumat bahawa terdapat rancangan daripada militan Daesh untuk mensabotaj pesta berkenaan.
 
Sehubungan itu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan media memberitahu, pihak polis juga tidak menyokong acara berkenaan kerana bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
 
"Wujud perancangan oleh pihak militan yang akan melakukan sabotaj ke atas festival berkenaan, kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.
 
Pada 18 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran pesta itu yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Kuala Lumpur, tanpa menyatakan sebab khusus.
 
Better Beer Festival merupakan acara yang mempromosikan minuman keras dan telah diadakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2011.
 
Bagaimanapun, ia menjadi isu nasional selepas anggota jawatankuasa PAS, Riduan Mohd Nor mengadu mengenai acara itu dua minggu lalu dan mengatakan ia boleh mengundang kepada ancaman pengganas.
 
Bukan itu saja, Mohamad Fuzi memberitahu polis turut mengesan ada pihak yang merancang untuk menimbulkan kacau-bilau semasa acara berkenaan berlangsung.
 
"Polis juga mendapat maklumat wujud beberapa pihak yang merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival tersebut berlangsung dan ini bakal menimbulkan satu situasi keselamatan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: