HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 September 2017

‘PM saya’ bukti kegagalan peniaga online papar harga



Athirah Huda Zalhe





PELANGGAN: PM sis!

Peniaga: Terima kasih kerana berminat dengan produk kami. Produk ini menjamin 100 peratus hasil yang baik kepada puan, dengan hasil hanya seminggu sahaja.

Pelanggan: Ohh, berapa harga ya?

Peniaga: Di sini saya sertakan beberapa lagi testimoni daripada ‘customer’ yang berpuas hati dengan produk kita.

Pelanggan: (Masih tunggu harga) Baik, jadi harga yang set ini berapa?

Peniaga: Kita akan beri pulangan wang sekiranya sis tak berpuas hati dengan hasil produk kita. Untuk harga lanjut boleh tinggalkan nombor telefon, saya akan ‘whatsapp’ harga untuk semua set produk.

Pelanggan: Baik, terima kasih. (Urus niaga terhenti).

Geram dengan urus niaga sebegini! Pastinya ramai di kalangan pelanggan khususnya di atas talian (online) menjadi mangsa peniaga yang berniaga dengan cara yang merumitkan dua belah pihak. Mana tidaknya, ‘marketing’ produk yang tidak mahu disertakan dengan harga, maka terjadilah urus niaga seperti di atas. Sangat merumitkan!

Zaman teknologi hari ini, memberi banyak kemudahan kepada manusia dari pelbagai sudut khususnya tenaga dan masa. Urus niaga secara online merupakan salah satu kemajuan yang mula diaplikasi oleh masyarakat di seluruh dunia.

Mudah, jimat tenaga dan masa serta lebih universal. Dengan urus niaga atas talian, kita bukan hanya boleh membeli barangan di dalam negara, malah di negara-negara luar. Mudah, tanpa perlu menempah tiket kapal terbang untuk satu beg tangan atau kasut.

Namun, kemudahan itu dirumitkan dengan segelintir peniaga yang menyukarkan proses jual beli dengan pelanggan, sebagaimana yang terjadi seperti di atas. Akhirnya, pelanggan memutuskan untuk menghenti proses urus niaga itu.

Mungkin juga itu adalah salah satu ‘taktik’ marketing mereka. Jika meletakkan harga, maka produk yang sama dengan mereka akan bersaing dari sudut tawaran harga itu.

Analoginya begini sahaja, apa yang kita rasa jika mahu beli ikan, daging namun tidak disertakan tanda harga. Pastinya marah bukan? Oleh kerana itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan peniaga meletak tanda harga sesuatu barang yang dijual.

Ini belum lagi peniaga yang ‘memprivatekan’ laman sosial jualan mereka kepada pelanggan. Pelanggan perlu ‘follow’ mereka untuk cuci mata dan interaksi berhubung dengan produk yang dijual.

Secara mudahnya, contoh peniaga kedai runcit yang mahu berniaga tetapi mengunci pintu kedainya, dan pelanggan perlu mengetuk untuk masuk dan membeli. Secara logiknya, begitulah. Kenapa perlu diprivasikan laman sosial jualan?

Ruang atau medium yang mudah telah disukarkan dengan sesetengah peniaga sebegini.

Setiap peniaga Islam wajar memahami etika muamalat atau rukun urus niaga di dalam Islam walaupun urus niaga itu dilakukan di dalam talian. Seperti urus niaga lain, berurus niaga melalui talian juga melibatkan lafaz kontrak atau akad.

Setiap perniagaan yang dijalankan mestilah berteraskan lima rukun muamalat iaitu adanya penjual, pembeli, lafaz kontrak, sighah dan aset.

Lafaz kontrak dianggap sah apabila borang pesanan yang dikemukakan kepada penjual secara online mempunyai perincian yang jelas tentang urus niaga barang yang hendak dijual beli. Cara ini dapat memastikan wujud persetujuan antara dua pihak sebelum proses jual beli dilakukan.

Kaedah ini dapat menghindarkan daripada berlakunya gharar, iaitu perbuatan memperdaya dan memakan harta yang salah. Sesuatu urus niaga itu akan menjadi haram sekiranya terdapat unsur gharar kerana unsur ini boleh menimbulkan keraguan yang boleh mengakibatkan perselisihan antara pembeli dengan penjual.

Dalam surah Al-Nisa, “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan harta orang lain dengan cara yang dilarang, sebaliknya berdaganglah sesama kamu dengan saling redha meredhai”.

Saya menyambut baik arahan KPDNKK sebelum ini yang telah mengeluarkan amaran kepada peniaga online atau mana-mana web perniagaan supaya memaparkan harga barangan yang dijual dan maklumat produk dengan jelas seperti apa yang pengguna ingin tahu.

Tindakan itu adalah untuk melindungi hak pengguna selain undang-undang sedia ada, memaksa untuk peniaga meletakkan harga dan maklumat barangan sebelum transaksi dilakukan.

Ini bermakna, penggunaan frasa “PM saya, sis“, “Done PM” adalah antara kata kunci yang membuatkan penguatkuasa dapat mengesan kepada peniaga gagal memaparkan tanda harga. Individu yang gagal mematuhi ketetapan yang disenaraikan oleh kementerian ini boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.Tindakan berkenaan secara tidak langsung memudahkan transaksi jual beli, dan tiada unsur keraguan dalam proses urus niaga berkenaan.

Peniaga: Bagaimana sis? Masih berminat lagi dengan produk kami?

Pelanggan: Maaf ya, saya berminat, tetapi bila bertanyakan harga, pihak cik melengah-lengahkan urusan. Jadi, saya sudah tidak berminat.

*Athirah Huda Zalhe Wartawan Ismaweb.net     

Tiada ulasan: