KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan
melancarkan Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR) 17 sebagai inisiatif
menggalakkan masyarakat memerangi dan membenci jenayah rasuah dan salah
guna kuasa.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Abdul Samat Kasah
berkata program selama 12 hari bermula 18 Sept itu akan disertai 44
motosikal dan dua bas yang membawa pegawai kanan SPRM.
"Melalui program KEJAR ini, pegawai SPRM akan pergi dari negeri ke
negeri untuk mendekati masyarakat dan memberi pendedahan mengenai jenis
rasuah serta salah guna kuasa yang sering berlaku.
"Kami mahu masyarakat bukan sahaja benci rasuah malah tolak pemberian
atau permintaan rasuah sehingga sanggup melapor dan menjadi saksi,"
katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama Radio semalam.
Selain itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang untuk
menyalurkan sebarang maklumat tentang pelakuan rasuah kerana tindakan
mereka dilindungi undang-undang.
Dalam pada itu, Abdul Samat berkata lebih 45,000 individu telah
mendaftar sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) SPRM yang
diwujudkan untuk memberi peluang kepada masyarakat menjadi mata dan
telinga SPRM dengan penyertaan masih dibuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan