Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
PUTRAJAYA: Dagangan mata wang asing yang dijalankan Bank Negara
Malaysia (BNM) sekitar 1990-an dahulu boleh dilakukan tanpa had dan
boleh mencecah sehingga berbilion dolar Amerika Syarikat (AS).
Saksi ke-18, Azman Mat Ali, bekas Pentadbir Pertukaran Wang Asing BNM
memberitahu RCI hari ini, beliau tidak akan melakukan apa-apa transaksi
jika tidak diarahkan bekas Penolong Gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop.
Nor Mohamed selaku pedagang dalam urus niaga berkenaan, kata Azman.
"Tidak ada had bagi setiap transaksi. (Saya) tidak ingat transaksi yang
saya buat tapi jumlah boleh mencecah bilion dolar dalam sehari.
"Saya tidak berani urus niaga melainkan arahan dari Nor Mohamed mahupun ketua pedagang.
"Saya menjalankan tugas menerusi pedagang iaitu Nor Mohamed. Semua
urusan dilaksanakan di Jabatan Akaun BNM," katanya lagi semasa memberi
keterangan di prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan
kerugian BNM dalam urus niaga mata wang asing.
Bercakap kepada panel RCI, Azman memaklumkan setiap transaksi
berlangsung dalam tempoh 24 jam sehari dengan bantuan dua pekerja BNM
yang bekerja secara shif.
Manakala Azmin berkata tugasnya hanya melaporkan setiap aktiviti urus
niaga kepada ketua pedagang ketika itu, Lim Tan Mee (1988-1989),
Selvaraj (1989-1990), dan Chua Tiong Chin (1990-1994), serta Nor Mohamed
yang merupakan penasihat kepada BNM ketika itu.
Dalam prosiding itu juga Azman memberitahu dirinya tidak pasti sama ada
urus niaga bernilai berbilion ringgit iti dilakukan untuk pertukaran
atau rezab, malah mana-mana transaksi dilakukan secara manual dan tiada
unsur 'Check and Balance' yang dilakukan oleh BNM pada tahun 1990
sehingga 1994.
Antara mata wang asing yang diurusniagakan beliau ketika itu adalah
Dolar AS, Mark Jerman, Yen Jepun, Pound British, Franc Swiss, dan Franc
Perancis.
Azman menambah jumlah mata wang yang didagangkan oleh beliau selaku
pentadbir pertukaran asing adalah tidak lebih AS$5 hingga AS$10 juta
seorang, namun bagi ketua pedagang pula had urus niaga melebihi dari
jumlah itu.
Semalam Nor Mohamed dalam keterangannya mengakui dirinya tidak pernah
berbincang dan memaklumkan kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri
berkenaan urus niaga Bank Negara Malaysia (BNM) dan mata wang asing
(forex) antara tahun 1986 sehingga 1993.
Menteri kewangan yang dirujuk Nor Mohamed dalam tempoh yang disebut di
prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini adalah Tun Daim
Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri pada ketika urus niaga itu sedang dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan