Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PUTRAJAYA: Bekas penolong gabenor bank negara, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop mengakui dirinya tidak pernah berbincang dan memaklumkan kepada
Menteri Kewangan dan Perdana Menteri berkenaan urus niaga Bank Negara
Malaysia (BNM) dan mata wang asing (forex) antara tahun 1986 sehingga
1993.
Menteri kewangan yang dirujuk Nor Mohamed dalam tempoh yang disebut di
prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini adalah Tun Daim
Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri pada ketika urus niaga itu sedang dijalankan.
"Saya tidak pada bila-bila masa pada tahun 1986 hingga 1993 berbincang
dengan Menteri Kewangan mengenai urus niaga forex yang dijalankan oleh
BNM.
"Saya tidak pada bila-bila masa pada tahun 1986 hingga 1993 berbincang
dengan Perdana Menteri mengenai urus niaga forex yang dijalankan oleh
BNM," katanya di hadapan panel RCI berkaitan kerugian membabitkan BNM
dan urus niaga mata wang asing yang berlangsung sekitar 1990-an lalu.
Nor Mohamed merupakan saksi ke-17 yang dipanggil memberi keterangan dalam prosiding hari kelima di Istana Kehakiman, hari ini.
Beliau juga merupakan bekas penasihat kewangan BNM dan bekas menteri kewangan kedua di bahagian Unit Perancangan Ekonomi.
Terdahulu bekas peguam negara, Tan Sri Ainum Mohamad Saaid dan bekas
gabenor bank negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dipanggil memberi
keterangan pada pagi ini.
Zeti dalam keterangannya memaklumkan BNM mengalami kerugian sehingga
sepuluh kali ganda dengan nilai sebanyak RM31.506 bilion antara tahun
1991 hingga 1994.
Untuk rekod pada 15 Februari lalu Pasukan Petugas Khas (PPK) ditubuhkan
dan dipengerusikan bekas ketua setiausaha kerajaan Tan Sri Sidek
Hassan, bertujuan menyiasat kerugian yang dialami bank pusat itu antara
1991 dan 1993.
Turut menganggotai ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md.
Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin
Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan,
Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan
dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk
Dr. Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.
Ia susulan pendedahan bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad
Khalid awal Februari lalu bahawa bank pusat itu mengalami kerugian AS$10
bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal
90-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan