Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad
sekali lagi melontar tuduhan-tuduhan tajam ke arah PAS, sekali gus
menuduh parti itu menyebar ajaran Islam yang menjadikan penyokong parti
itu taksub kepada pemimpin tertentu.
"Sebagai seorang Muslim, saya rasa PAS beri tanggapan tentang Islam
yang mana bertentangan dengan ajaran Islam. Tapi (PAS) berjaya dalam
memecahkan orang Islam kepada dua entiti berbeza.
"Ini bukan amalan dalam Islam tapi rakyat menjadi taksub kepada
pemimpin, bukan kepada ajaran Islam. Kita lihat sejarah dalam agama,
rakyat cenderung kepada pemimpin mereka, tidak kepada ajaran agama.
Sebab itu ada berapa kumpulan berbeza disebabkan pengajaran, bukan
disebabkan agama asal.
"Agama membawa umatnya bersama-sama, tapi pengajarnya cenderung untuk
pecahkan kerana alasan peribadi," katanya dalam program interaktif
bersama pelayar sebuah portal yang disiarkan secara langsung sebentar
tadi.
Program itu turut menampilkan pemimpin yang pernah menjadi seteru Dr Mahathir, iaitu Penasihat DAP Lim Kit Siang.
DAP bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir,
PKR dan Amanah menubuhkan Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan minggu
lalu tidak akan bekerjasama dengan PAS yang dari awal lagi menolak
permuafakatan yang cuba di usahakan oleh PKR dengan restu Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali menyerang pemimpin PAS, khususnya
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malah mengaitkan beliau kepada politik
wang dan mesra Umno.
Tuduhan-tuduhan itu disanggah oleh Hadi yang menuduh Dr Mahathir
sebagai hanya taksub untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri
Najib Tun Razak secara tidak demokratik demi agenda peribadinya.
Hari ini Dr Mahathir sekali lagi mensasarkan parti pimpinan Hadi yang
menurut mantan perdana menteri itu, penyebab perpecahan umat Islam di
negara ini.
"Dan di sini Malaysia, ini yang terjadi kerana PAS menggunakan Islam,
mereka berjaya bahagikan Muslim di Malaysia. Orang Melayu dalam golongan
sama pengikut Imam Syafie, sebelum kedatangan PAS, tiada perpecahan di
kalangan orang Muslim di Malaysia, mereka semua satu di bawah mazhab
yang sama," katanya lagi.
Sementara itu, Kit Siang berkata PH kini perlu bekerja keras dalam
mendekati ahli PAS untuk menarik mereka bersama gabungan itu, tambahan
selepas parti itu di bawah kepimpinan Hadi yang dakwanya berbeza dengan
pemimpin parti terdahulu.
"PAS di bawah kepimpinan Hadi sangat berbeza daripada Nik Aziz, Fadzil
Nor mahupun Yusof Rawa, yang mana pendekatan mereka lebih inklusif dan
lebih bertolak ansur," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan