Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad
tetap berpendirian warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara
baru-baru menjadi masalah kepada gabungan pembangkang itu.
Beliau berkata demikian menjawab kritikan Timbalan Presiden PKR, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali hari ini yang mengingatkannya bahawa Anwar adalah
Ketua Umum PH dan pandangannya perlu dihormati.
"Orang tanya saya... orang semua dah baca surat daripada Anwar. Jadi
surat itu menimbulkan beberapa persoalan lain dan ini menjadi masalah
(kepada PH), yang kita boleh selesaikan," katanya ringkas kepada
pemberita.
Dr Mahathir ditemui selepas hadir mendengar keterangan Anwar di
prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kerugian yang
ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) atas urus niaga mata wang asing
sekitar tahun 1990-an.
Terdahulu Dr Mahathir pada semalam dalam satu sesi dialog anjuran
Pro-Waris berkata, sepucuk surat daripada Anwar menyebabkan masalah
kepada PH kerana ia memberi 'lampu hijau' kepada PKR terus berhubung
dengan PAS.
Tegas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga, PH
sebagai suatu gabungan empat parti pembangkang sudahpun bersetuju bahawa
tiada lagi rundingan akan diusahakan dengan parti pimpinan Datuk Seri
Abdul Hadi Awang itu.
Justeru ujarnya PH akan menamatkan semua cubaan PKR berunding dengan PAS menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Respon mantan perdana menteri itu bagaimanapun tidak disenangi Azmin,
yang kemudiannya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar bukan sahaja
Ketua Umum PKR malah beliau juga Ketua Umum PH yang suaranya perlu
dihormati serta didengari.
Anwar menerusi warkah itu pada Sabtu lalu mengesahkan beliau
mempersetujui usaha Azmin berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama
politik dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Ujar Anwar, jikapun rundingan PKR-PAS membuahkan hasil ia tetap akan berlaku dalam 'kerangka komitmen PKR dengan PH'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan