Festival arak tidak seharusnya dijadikan isu
memandangkan acara berkenaan sudah beberapa tahun dilaksanakan tanpa
sebarang masalah.
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan menghalang penganjuran acara yang memenuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, termasuklah festival melibatkan pengambilan arak.
Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali berkata penganjuran festival arak tidak harus dijadikan isu memandangkan acara berkenaan sudah beberapa tahun dilaksanakan tanpa sebarang masalah.
“Ia bukan satu isu langsung di Selangor. Tahun-tahun sebelum ini pun kita berikan kebenaran tetapi penganjur kenalah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Itu amalam biasa,” kata Azmin ketika ditemui di pelancaran Institut Wanita Berdaya di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.
“Kebenaran tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilaporkan memberi kebenaran untuk penganjuran Festival F&B Jerman Centro Mall dengan syarat penganjur tidak menggunakan perkataan “Oktoberfest” dan melarang penyertaan orang Islam.
Lampu hijau diberi kerana festival itu merupakan acara persendirian yang diadakan di tempat persendirian. Festival dijadualkan berlangsung pada 12 & 13 Oktober dari 5.00 petang hingga 11 malam.
Difahamkan pusat beli belah itu pernah menganjurkan acara seperti itu pada tahun-tahun sebelum ini tanpa sebarang masalah.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun mempertahankan bantahan terhadap penganjuran acara seperti itu kerana terdapat ancaman ekstremis yang mahu mensabotaj acara sekiranya diteruskan.
Beliau bagaimanapun berkata polis akan mematuhi keputusan pihak berkuasa tempatan dan akan menjaga keselamatan kawasan.
Isu penganjuran pesta arak menjadi isu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjur Festival “Better Beer” 2017 di Galeri Beli Belah Publika, Kuala Lumpur pada 6-7 Oktober ini.
Penganjuran festival bir Oktoberfest mendapat bantahan daripada PAS dan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan