KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) meminta kerajaan
mengubah model perniagaan stesen minyak daripada milikan tunggal kepada
sendirian berhad bagi membantu pertumbuhan industri minyak di negara
ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan, berkata menerusi
model perniagaan milikan tunggal, hanya seorang pengusaha dibenar
mengendalikan sebuah stesen menyebabkan ia tidak berkembang.
"Bagaimanapun, jika menggunakan model sendirian berhad, pengusaha boleh
bergabung dengan pengusaha lain untuk meluaskan perniagaan dan saling
membantu antara satu sama lain.
"Ini kerana situasi semasa yang menunjukkan ketidakstabilan harga
jualan bahan api turut menjejaskan industri sekali gus menyebabkan
platform milikan tunggal tidak lagi relevan.
"Dianggarkan 200 daripada 3,000 stesen minyak sudah gulung tikar akibat
tidak mampu bertahan dan bersaing dengan stesen minyak yang lebih besar
dan stabil," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Diskusi Pra Bajet 2018 bagi
membincangkan cadangan memantapkan ekonomi usahawan Bumiputera menjelang
Bajet 2018, anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia
(PERDASAMA) di sini, malam ini.
Turut hadir, Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Dewan PERDASAMA Muda, Muhammad Taqiuddin Halim.
Sementara itu, Mohd Rofaie berkata, perubahan harga jualan bahan api
setiap minggu menyebabkan pengusaha tidak boleh merancang perolehan
pendapatan bulanan walaupun ia memberi kelebihan kepada pengguna ketika
harga turun.
Contohnya, ketika harga jualan meningkat pengusaha memerlukan modal tambahan untuk membeli bekalan.
"Sebaliknya, ketika harga jualan turun, pengusaha akan kerugian pula
kerana membeli bekalan bahan api dalam jumlah terhad mengikut kuota
masing-masing," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan