SUBANG – Kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Datuk
Seri Azmin Ali dibidas kerana gagal membela nasib keluarga di penempatan
setinggan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang
dirobohkan pada 4 Oktober lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian Daerah
Petaling di sini.
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan
Sri Noh Omar berkata, sebagai ketua eksekutif negeri, Azmin seharusnya
menggunakan kuasa serta budi bicara yang ada untuk menyelesaikan masalah
rakyat dalam keadaan sangat memerlukan seperti hari ini.
Katanya, Azmin hanya pandai berceramah tanpa memperdulikan
kebajikan rakyat dan nasib dua keluarga berkenaan merupakan contoh
terbaik bagaimana rakyat menjadi mangsa keadaan demi politik
pembangkang.
Beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengambil berat tentang rakyat
dan ini terbukti walaupun baru setahun dilantik menteri Kabinet,
beliau mampu membelanjakan lebih banyak untuk rakyat dan menggunakan
kuasa budi bicara yang ada untuk menyelesaikan nasib dua keluarga ini.
“Saya dimaklumkan Khamis lepas oleh ADUN Kota Damansara, Datuk
Halimaton Saadiah Bohan bahawa ada dua kediaman akan diroboh dan saya
meminta dia supaya pastikan dua keluarga terjejas itu membuat rayuan dan
menangguhkan operasi perobohan itu.
“Halimaton jumpa saya dengan mereka dengan siap borang PPR yang
diisi lengkap pada Jumaat lepas semasa saya baru selesai merasmikan
Program My Rumah NSTP di The Curve Damansara, saya meluluskannya di atas
bonet sebelum masuk kereta saya, bukan di pejabat.
“Ketika Halimaton mengejar saya dengan surat di sana, kebetulan
Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara K.N.Jeyaseela ada bersama saya
dan menggunakan kecekapan mengarahkan penyediaan rumah selepas saya
meluluskannya.
“Bayangkan waktu itu saya sedang mengejar masa hendak pergi
sembahyang Jumaat ke Tanjung Karang,” katanya dalam sidang media selepas
hadir dan menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah PPR kepada isteri
kedua-dua mangsa itu di unit PPR baharu masing-masing.
Katanya, beliau turut meluluskan dua unit kedai dua tingkat di PPR
yang sama untuk kedua-dua keluarga itu berniaga kedai makan dan runcit
selepas dirayu oleh Halimaton
“Sewa kedai tadi saya tengok pegawai kementerian caj RM550 sebulan,
tetapi setelah mendengar rayuan kedua-dua mangsa yang masih belum pulih
dari masalah telah dikurangkan kepada RM300 sebulan.
“Saya sudah meminta pihak saya supaya tak perlu kutip sewa sekarang
sehingga mereka menyelesaikan masalah mereka, mungkin mulai November
ini akan dikutip sewa.
“Rumah yang disediakan ini adalah sewa untuk dibeli, yang mana
semasa dibina harganya RM125,000 sahaja berbanding harga sekarang
mencecah RM180,000 seunit dan sewa juga difahamkan mencecah RM1000
sebulan kerana berada di sebelah MRT Ara Damansara.
“Dengan tiga bilik dan dua bilik air kita membantu kedua-dua
keluarga ini caj sewa RM255 sahaja sebulan untuk tempoh 24 bulan dan ia
akan diambil kira sebagai bayaran pendahuluan untuk beli rumah.
“Kalau tempoh dua tahun bayaran sewa baik dan rumah tak disewa,
kita akan tukarkan sebagai rumah beli dan sewa 24 bulan yang telah
dijelaskan akan diserap sebagai deposit sebahagian,” jelasnya.
Noh berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan hanya pandai cakap
tetapi tidak pandai menguruskan masalah rumah, sampah, bola sepak dan
denggi.
“Dalam hal perobohan ini dia boleh menggunakan budi bicara dan
kuasa eksekutif yang diperuntukkan dan boleh menolong mangsa, walaupun
ada undang -undang mahkamah, sebagai peguam saya tahu, dia bukan peguam
sebab itulah tak pandai, tetapi kalau suruh fitnah dia juara,
“Dia bila rujuk kes, beri alasan minta merujuk pihak berkuasa
tempatan yang didakwa lebih berkuasa pula. Di negeri ini PBT lebih
berkuasa dari MB Selangor dan lebih baik Yang Dipertua PBT jadi menteri
besar lagi senang,” katanya.
Beliau juga mengutuk proses pemilihan jawatankuasa masjid di negeri
itu yang mana kariah dan bilal masjid dipilih kalangan orang lain
sedangkan semasa proses undi orang yang dipilih tidak tersenarai.
“Siap bilal merungut hendak mengadu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia,
tetapi saya kata tak perlu, menangkan BN dan kita akan selesaikan
semua,” ujarnya.
Malah katanya, ada yang mendakwa kenapa beliau sibuk turun padang bantu sekarang dan bukan dahulu.
“Saya baru setahun jadi menteri tetapi dah buat banyak jika
dilantik awal lagi, saya dah bereskan semua, sehingga Exco negeri jaga
perumahan tak payah buat kerja. Kelakar dia boleh cakap ada berbilion
ringgit tak tahu nak buat apa berbanding saya sudah berbelanja lebih
daripada kerjaan negeri,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan