shahbudindotcom
Ketua
Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad akhirnya tampil bersuara berhubung
dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dikatakan
sudah bersuami sebagaimana yang terkandung dalam video yang telah
tersebar luas sejak lebih seminggu yang lalu.
Menyifatkannya sebagai taktik kotor dan jijik, Dzulkifli sebaliknya bertegas tidak akan tunduk kepada serangan berkenaan.
Katanya,
beliau akan kekal tegas dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna
kuasa serta tidak akan membenarkan taktik kotor dan jijik berkenaan
mengganggu tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
Tindakan-tindakan kami tidak akan terjejas dengan serangan kotor dan jijik seperti ini, ujarnya.
Alhamdulillah,
semua pihak tentunya menyokong usaha SPRM memerangi rasuah sebagaimana
yang ditegaskannya itu, dengan syarat ia mestilah dilakukan dengan
jujur, ikhlas dan tanpa memilih bulu.
Tetapi, ada dua perkara dalam isu yang melibatkan Dzulkifli dan penjelasan yang ditampilkannya itu.
Pertama,
sementara menyifatkan penyebaran video berhubung dirinya itu sebagai
taktik kotor dan jijik, beliau sebenarnya masih tidak menjawab
persoalan-persoalan yang sedang bermain di fikiran masyarakat ketika
ini.
Antaranya,
beliau masih tidak menjelaskan sama ada benar atau tidak dirinya
mempunyai hubungan intim dengan wanita berkenaan yang didakwa ketika itu
masih lagi bersuami dan betulkah juga gambar-gambar yang tersebar
mengenai percutiannya ke Bali itu?
Daripada
satu segi, mendedahkan keaiban orang lain memanglah suatu perbuatan
yang tidak baik, tetapi mempunyai hubungan terlarang dengan wanita lain,
apa lagi jika benar sudah bersuami dan dalam wibawa sebagai Ketua
Pesuruhjaya SPRM yang disanjung tinggi oleh masyarakat sehingga diberi
penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat mengenai rasuah, tentulah juga
suatu tingkah laku yang kotor dan jijik.
Oleh
yang demikian, tampilnya Dzulkifli hanya dengan mengatakan serangan
terhadapnya itu sebagai taktik kotor dan jijik belum lagi memadai
sehinggalah beliau berterus-terang mengenai hubungannya dengan wanita
berkenaan.
Kalau "ya", katalah "ya" dan kalau "tidak", katalah "tidak" berserta dengan hujah dan bukti-buktinya sekali.
Kiranya
Dzulkifli hanya lelaki biasa dan tidak memegang apa-apa jawatan penting
dalam kerajaan, menjalin hubungan dengan siapa pun barangkali adalah
hal peribadinya, tetapi memandangkan jawatan dan kedudukannya ialah
untuk "membersih dan menanggalkan kekotoran" dalam masyarakat, dari segi
moralnya beliau mestilah juga seorang yang bersih dan dilihat bersih
terlebih dahulu.
Jika
tidak, bukan saja tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lagi
dihormati, malah tentu saja tiada mana-mana akan mengundangnya membaca
khutbah Jumaat lagi selepas ini.
Yang
kedua, jika benar penyebaran video berkenaan merupakan taktik kotor dan
jijik untuk membunuh karektornya sebagai panglima dalam memerangi
rasuah di negara ini, siapakah yang paling mungkin melakukan perbuatan
itu?
Adakah
ia dilakukan oleh parti-parti pembangkang seperti dakwaan sesetengah
pihak yang kononnya mulai gentar atas ketegasan Dzulkifli dan SPRM dalam
memerangi rasuah sejak kebelakangan ini?
Jika
demikian, antara pemimpin UMNO dan kerajaan, pegawai-pegawai awam,
mereka dalam GLC, orang yang dekat dengan menteri dan dibandingkan
dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, siapakah yang lebih ramai disiasat
dan ditangkap oleh SPRM?
Parti
manakah yang diketahui pernah menyuarakan kebimbangan mengenai
ketegasan Dzulkifli dalam menangkap orang-orang tertentu dan dikaitkan
dengan keputusan pilihanraya akan datang dalam mesyuarat tertingginya,
selain daripada UMNO?
Jika
diteliti juga, tidakkah pemain media sosial pro UMNO sendiri yang
mula-mula menyebarkan video berkenaan sambil menuntut Dzulkifli agar
tampil memberi penjelasan dan kemudiannya menyarankan beliau supaya
bercuti buat sementara untuk menyelesaikan kes peribadinya itu?
Akhirnya,
jika benar penyebaran video itu merupakan taktik kotor dan jijik,
apakah tidak mustahil ia turut boleh dikaitkan dengan SPRM yang
sebenarnya masih perlu menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara
berhubung dana RM42 juta daripada SRC International yang mengalir masuk
ke akaun peribadi Perdana Menteri?
Atau video
berkenaan disebarkan oleh pihak-pihak lain yang tiada kaitan dengan SPRM atau
usaha memerangi rasuah, tetapi lebih bersifat peribadi?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan