KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman
menyifatkan laporan sebuah akhbar mengenai Masjid Kristal di Taman
Tamadun Islam, yang dikatakan tidak dibaik pulih dan terbiar, sebagai
tuduhan yang dibuat tanpa usul periksa.
“Tuduhan sembarangan hingga mengabaikan maklumat sebenar,” katanya dipetik Bernama.
Katanya, akhbar terbabit telah diberitahu mengenai kesungguhan kerajaan
negeri membaik pulih Masjid Kristal, namun beliau kesal kerana akhbar
itu menyiarkan laporan yang tidak berasas hingga menimbulkan pelbagai
spekulasi yang memberi impak kepada usaha Visit Beautiful Terengganu
2017.
“Adanya berita tidak benar ini menimbulkan dakwaan seolah-olah
menunjukkan kerajaan negeri bersikap ‘lepas tangan’ terhadap Masjid
Kristal sedangkan hakikatnya proses pembaikan sedang berlaku di masjid
itu.
“Masjid Kristal sebagai sebuah ikon dan produk pelancongan terkenal
Terengganu, kerajaan negeri sentiasa memastikan penambahbaikan terhadap
lokasi itu namun ia tidak berlaku ‘sekelip mata’ sebaliknya proses
pembaikan itu sudah pasti mengambil sedikit masa,” katanya.
Menurutnya, beliau dan beberapa pegawai terlibat termasuk daripada Unit
Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) telah melakukan lawatan bagi melihat
kerosakan di Masjid Kristal pada 11 Ogos lepas dan hasilnya, kerajaan
negeri bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM305,000 kepada
Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk
menggantikan 28 keping cermin yang pecah.
“Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) diminta menyediakan anggaran untuk
melakukan kerja-kerja ‘waterproofing’. UPEN telah menerima anggaran kos
daripada JKR kira-kira dua minggu lepas dan telahpun menghantar surat
kelulusan sebanyak RM584,000 kepada JKR untuk melakukan kerja-kerja
tersebut.
“Sekarang ini ia dalam proses angkat persetujuan untuk lantikan terus
memandangkan kerja-kerja tersebut memerlukan kepakaran dan kerja
segera... Jadi jumlah keseluruhan peruntukan diluluskan oleh kerajaan
negeri untuk membaiki kerosakan Masjid Kristal adalah sebanyak
RM889,000,” katanya.
Tambahnya proses pembaikan masjid itu sedang berjalan dan pengeluaran
tender untuk pembaikan keseluruhan akan dibuat selepas proses menukar
cermin kristal baharu selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan