HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 November 2017

’22 tahun perintah tak pernah lawat Hospital Tung Shin’, Najib sindir Dr M

 
Perdana menteri hari ini mengumumkan bantuan RM3 juta kepada hospital swasta itu bagi membina pusat kardio.


najib-razak-Hospital-Tung-Shin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa bekas perdana menteri itu tidak pernah melakukan lawatan ke Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina sepanjang 22 tahun pemerintahnya.

Menggelar dirinya “Ah Jib Gor” dalam ucapannya semasa mengunjungi Hospital Tung Shin, Najib kemudian mengumumkan pemberian bantuan RM3 juta kepada hospital berkenaan bagi membina pusat kardio.

“Saya amat gembira dapat melawat Hospital Tung Shin yang ditubuhkan 136 tahun lalu dan Chinese Maternity Hospital yang berumur 104 tahun. Saya berbesar hati menerima sambutan yang sangat hangat.

“Saya difahamkan saya perdana menteri Malaysia pertama yang melawat 2 hospital ini. Ada seorang yang jadi perdana menteri 22 tahun tak melawat hospital ini,” kata Najib.

Beliau berkata dana RM3 juta itu tambahan kepada sumbangan RM7 juta yang diterima Hospital Tung Shin untuk membina pusat tersebut.
  “Saya fikir punya fikir maka saya atas nama kerajaan persekutuan bersetuju beri sumbangan RM3 juta kepada Hospital Tung Shin.

“Dana ini akan kita keluarkan dalam sedikit masa lagi. Saya tak mahu hutang,” kata Najib.

Najib sebelum ini turut menyerang pembangkang dalam Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini, mengeluarkan kenyataan “kepala bapak kau” terhadap mereka yang mendakwa beliau menjual kedaulatan negara kepada China melalui projek mega. Dalam ucapannya sempena Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka malam tadi, Najib juga berkata ketika pemimpin negara lain menghormati Malaysia, terdapat “seekor, dua yang tidak menghormati kita”.

Malah, ketika permulaan ucapan pembentangan Bajet 2018 di Parlimen, Najib turut menyindir Dr Mahathir kerana menyentuh susur galur keturunannya daripada etnik Bugis.

“Sayang seribu kali sayang, dalam kita ingin membina peradaban, santun susila antara satu sama lain, sampai hati dan tergamak sungguh ‘orang itu’ memaki, mencera keturunan Bugis,” kata Najib.

Tiada ulasan: