HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 November 2017

Tak salah dedah kemewahan jika halal, kata menteri


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata tidak ada salah mendedahkan kemewahan diri kerana agama Islam juga menggalakkan umatnya mencari kekayaan asalkan ia dari sumber yang halal.

"Apa salahnya tunjukkan kemewahan dia asalkan sumbernya halal.

"Dalam agama juga tidak menyalahkan umatnya mencari kekayaan.

“Cuma sumbernya saja kita kena tahu, kenapa takut ke?” soal Nazri pada sidang media majlis pra pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen hari ini.

Nazri berkata demikian mengulas artikel di dua akhbar pro-Umno mengenai gaya hidup anak perempuan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Meera Alyana Mukhriz.


Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam berkata etika kewartawanan jatuh ke tahap paling rendah apabila pandangan peribadi seseorang dijadikan berita.

Bekas menteri besar Kedah itu juga dilapor sebagai berkata laporan terbabit tidak sepatutnya disiarkan.
Mengulas lanjut, Nazri mempersoalkan kenyataan Mukhriz itu.

"Kalau media bukan mainstream boleh? Dedahkan kemewahan pegawai kerajaan, menteri-menteri boleh? Kalau bukan mainstream boleh?

"Jangan double standard," katanya dalam nada sinis.

Nazri berkata, semua pihak juga mahu tahu sumber kekayaan keluarga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Kita pun nak tahu dari mana datangnya kekayaan ini. Saya dah tanya Dr Mahathir banyak kali dah bagaimana anak-anak dia boleh kaya, bukan pandai meniaga pun.

"Jadi, kalau dah jadi orang kenamaan public figure maka orang berhak untuk tahulah dari mana datangnya kekayaan itu.

"Jadi, jangan berpura-puralah kalau nak tunjuk perjuangkan orang yang susah atau apa," ," kata Nazri.

Ahad lalu, dua akhbar pro-Umno meluaskan fokusnya dengan mendedahkan kehidupan mewah Meera Alyanna Mukhriz, cucu pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk "Meera Alyanna Mukhriz mewah bergaya bak selebriti" dengan memaparkan gambar cucu Dr Mahathir itu di atas sebuah kapal layar.

Menurut akhbar milik Umno itu, kehidupan anak Mukhriz yang lebih dikenali sebagai Ally itu mewah umpama selebriti, sering menggayakan pakaian berjenama serta dan menjadi tumpuan pengguna media sosial.

Akhbar itu juga mendakwa, Ally dilihat kerap bercuti di seluruh dunia bahkan turut mempunyai sebuah bot dinamakan sempena namanya yang dipercayai dihadiahkan daripada bapanya.

Sementara itu, akhbar Berita Harian pula di muka depannya memaparkan artikel bertajuk "Viral Kehidupan Mewah Cucu Tun M" dengan gambar Ally dan adiknya Melia Serena di atas bot bersama rakan-rakan mereka.

Lapor akhbar itu, terdapat akaun Facebook dengan nama "Sudahlah Mahathir" bertindak memuat naik 14 gambar memaparkan kehidupan mewah anak Mukhriz termasuk bot tertera nama Puteri Alyanna kini viral di laman sosial.

Menurut akbar tersebut, pengendali Facebook itu turut menulis nota kaki berbunyi; “Koleksi gambar ini setelah disaring dan diketepikan semua gambar yang bersifat sangat peribadi dan agak lucah sebab admin bukan mahu serang bab akhlak dan sebagainya tapi harta kekayaan saja.”

Dipercayai koleksi gambar yang dipaparkan oleh Facebook tersebut diambil daripada akaun Instagram dua cucu Mahathir itu.


Tiada ulasan: