HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 November 2017

'Tak timbul isu menteri sayang kasut'

MALAYSIAKINI



Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Razman Yaacob kesal dengan fitnah di media sosial yang kononnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berjalan di atas meja di sebuah sekolah yang dilanda banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini kerana sayangkan kasut.

Katanya, tindakan netizen yang menularkan berita dan gambar itu tanpa asal usul bertujuan memfitnah pemimpin Umno di media sosial.

"Fitnah daripada pihak tertentu ini adalah tidak wajar. Kita kena fikir dahulu sebelum fitnah tanpa maklumat sahih jangan sebarkan

"Tidak timbul isu seperti ditularkan iaitu menteri sayang kasut, takut air kerana meja itu bukan disediakan khas untuk beliau ketika lawatan itu.

“ Lawatan tersebut juga tiada dalam jadual beliau kerana kebetulan berada di Pulau Pinang, beliau menyatakan hasrat untuk melawat calon yang menduduki peperiksaan SPM di sekolah itu,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Mohd Razman juga menjelaskan, meja berkenaan yang disusun di pekarangan sekolah itu turut digunakan guru dan pelajar ketika mereka dipindahkan dari pengangkutan ke dewan peperiksaan.

"Meja tersebut sudah disusun apabila berlaku banjir sehingga paras paha di sekolah itu untuk pelajar dan guru berjalan ketika dipindahkan oleh kenderaan ke dewan masing-masing," katanya, hari ini.

 
Gambar menteri berkenaan berjalan di atas meja di sekolah yang dilanda banjir itu tular di media sosial baru-baru ini.
 Warga maya kemudian ‘mengejek’ tindakan pemimpin Umno itu dan menyiarkan gambar Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang meredah air untuk melawat mangsa banjir pada 2014 di Tutong.

Baginda kelihatan 'bersahaja' tanpa mempedulikan pakaiannya yang basah.

Tiada ulasan: