HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 November 2017

BN janji skim sewa beli jika menang PRU14, kata Noh

 
Program itu membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam satu tempoh masa yang diputuskan kemudian.


noh-omar-ppr

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) berjanji melaksanakan sistem “sewa dan beli” Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor sekiranya diberi mandat memerintah negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata PPR terlibat ialah PPR Lembah Subang 1, Kota Damansara, Hicom, Seksyen 26 di sini dan Serendah yang ketika ini diuruskan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

“Sekiranya BN diberi mandat memerintah Selangor kelak, saya janji program ini akan dijalankan. Kita mahu golongan berpendapatan rendah menjadi penghuni PPR ini dapat merasa menjadi pemilik rumah dan bukan selamanya menjadi penyewa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri yang mahu melupuskan tunggakan sewa penghuni PPR di Selangor seperti diumumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018 baru-baru ini.
  Menurut Noh, pemansuhan tunggakan sewa tersebut dilihat tidak mampu menyelesaikan isu perumahan rakyat dalam jangka masa panjang terutama membabitkan peluang mereka untuk memiliki kediaman sendiri.

“Jika kerajaan negeri khususnya menteri besar (Mohamed Azmin) nak ringankan beban rakyat dan memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri, mengapa mereka tidak umumkan sahaja skim sewa dan beli kepada penghuni PPR,” soalnya.

Pada Ogos lalu, program sewa dan beli PPR dilaksanakan di lima PPR bagi penyewa yang layak, iaitu di Gua Musang, Kelantan sebanyak 1,000 unit, Kampung Hassan, Hulu Selangor (300 unit), Lembah Subang 2, Selangor (1,580 unit), Ladang Siliau, Negeri Sembilan (300 unit) dan Jinjang, Kuala Lumpur (1,000 unit).

Program itu membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam satu tempoh masa yang diputuskan kemudian.

Tiada ulasan: