GERIK: Kira-kira 1,000 penduduk terjejas apabila jambatan di Jalan Air
Kudung di Kampung Ulu Kenderong di sini yang menghubungkan Kampung
Bendang Kerajaan, terpaksa ditutup kepada kenderaan kerana hampir runtuh
kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Jambatan sepanjang 15 meter dan tiga meter lebar merintangi Sungai Air
Kudung itu rosak berikutan hakisan berpunca air yang mengalir deras
berikutan musim hujan sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata selain
hakisan pada tebing di bahagian hujung jambatan, tiangnya turut patah
dan runtuh.
Katanya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan
kerana ketika kejadian tiada kenderaan atau pengguna melalui jambatan
itu.
"Siasatan awal mendapati punca jambatan berkenaan runtuh disebabkan
berlaku hakisan tanah di sekitar jambatan disebabkan air sungai yang
sentiasa banyak dan berarus laju sejak dua minggu lalu," katanya dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, pihaknya meletakkan papan tanda dan memasang tali
perimeter sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak melalui
jambatan berkenaan.
"Makluman kejadian itu juga sudah pun disalurkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diambil tindakan segera.
"Penduduk dinasihatkan supaya menggunakan jalan kampung lain untuk ke
pekan Gerik atau sebaliknya sehingga kerja baik pulih jambatan selesai,"
katanya dipetik BH Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan