SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir lebih banyak melakukan pengkhianatan
termasuk kepada orang Melayu sendiri sewaktu zaman pemerintahannya
selama 22 tahun sebagai perdana menteri.
Demikian reaksi Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengulas
serangan terbaru Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kepada Presiden PAS
yang juga ayahnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Memperincikan 'siri pengkhianatan' Dr Mahathir, kata Khalil, pemimpin
itu pada zaman pemerintahannya melakukan diskriminasi terhadap Kelantan
walau pun negeri itu mempunyai lebih 90 peratus orang Melayu.
Begitu juga di era pemimpin terbabit, royalti petroleum ditarik di
Terengganu biar pun negeri itu juga mempunyai majoriti penduduk Melayu,
kata Khalil.
Malah kata Khalil juga, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang
melemahkan kuasa politik orang Melayu dilakukan ketika era Dr Mahathir.
“Inilah sebahagian pengkhianatan yang dilakukan Dr Mahathir ketika
menerajui kerajaan sebelum ini,” katanya dipetik Harakahdaily.
Semalam Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM dalam satu sidang
medianya, melabel Hadi sebagai pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri
sendiri kerana bekerjasama dengan Umno, parti yang dakwanya pernah
dilabel 'kafir' oleh pemimpin PAS itu.
Gelaran itu juga diberikan kerana Hadi mengisytiharkan parti
pimpinannya akan bertanding di lebih 130 kerusi parlimen dalam Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujarnya, tindakan itu hanya akan memecahkan undi di kala Hadi tahu
partinya akan kalah di kebanyakan kerusi, sekaligus akan memenangkan
parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Hadi tahu bahawa kebanyakan kerusi itu akan kalah.. tetapi dia hanya
menangkan (Datuk Seri) Najib melalui cara pecahkan undi. Itu niat dia.
Itu bukan Islamik. Dalam Bahasa Melayu kita panggil ia pengkhianat.
“Mereka menang bila sertai (gabungan) bersama DAP iaitu 21 kerusi.
Sekarang bersendirian, mereka akan kalah. Mereka hanya menolong kawan
baik mereka yang dulunya kafir dari Umno. Najib adalah kafir, itu
menurut PAS-lah.
“Dia akan bantu kafir ini yang mana dia kata kalau kerja dengan kafir,
akan jadi kafir. Sekarang mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno. Maknanya
dia sedang kafirkan diri sendiri,” kata Dr Mahathir dalam sidang media
semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan