Khaliq Mehtab Mohd Ishak muka baru dalam dunia
politik tetapi ketampanan dan kebolehan bertutur dialek Hokkien
menjadikan beliau kegemaran warga Bertam.
Bagaimanapun, calon Pakatan Harapan di Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, 42, dari PPBM berdepan cabaran itu dengan tenang dan sudah pun mengagumkan orang ramai semasa meronda kampung halaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dengan gaya seperti seorang bintang filem, Khaliq memikat masyarakat Cina di kerusi majoriti Melayu itu dengan kebolehan bertutur dalam dialek Hokkien, mungkin lebih fasih berbanding sesetengah ahli politik Cina.
Ketampanan dan kefasihan berbahasa Cina adalah kerana ibu bapanya.
Ibunya berketurunan Cina dan berasal dari Green Lane, Pulau Pinang, sementara arwah bapanya, berketurunan Melayu, dahulu bekerja sebagai jurutrengkas di jabatan kerajaan di Alor Setar, Kedah.
“Kebolehan menutur dalam dialek Hokkien satu kelebihan buat saya kerana saya dapat berkomunikasi dengan pengundi Cina dan memahami mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemubual FMT.
Semasa meronda pekan, Khaliq disapa mesra oleh orang ramai, dan bukan sedikit memuji paras rupanya dan ada juga yang mahu mengambil gambar bersama.
Seorang pengusaha kedai ubat Cina tiba-tiba melaung, “Saya akan undi kamu”, sementara beberapa pengunjung yang mengenalinya dari poster yang digantung di lampu jalan, bergegas untuk bersalaman dengannya.
Peguam kes jenayah ini, 18 tahun berkecimpung dalam dunia undang-undang, sebelum ini tidak berminat dengan dunia politik dan tidak pernah menyertai Umno walaupun kakaknya, Azlina Mehtab, pernah menjadi ketua Puteri Umno Pulau Pinang.
Beliau membuat keputusan untuk menyertai PPBM pada Oktober 2016 untuk membawa perubahan.
“Faktor Dr M (pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad) yang membuat saya tersentuh, saya berasa seperti saya perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan Malaysia.
“Saya memang memandang tinggi Dr Mahathir sebagai idola saya. Itu motivasi saya untuk sertai PPBM,” kata bapa 3 anak itu.
Khaliq mempunyai satu lagi kaitan dengan Dr Mahathir, kedua-dua mereka bersekolah di Kolej Sultan Abdul Halim di Alor Star.
Khaliq akui terkejut apabila dipilih sebagai calon PPBM di Bertam kerana beliau tidak banyak membantu jentera pilihan raya PH di Parlimen Kepala Batas.
Beliau sedar dia masih baru di Bertam yang bukan sahaja kubu kuat BN tetapi juga akan menyaksikan persaingan daripada PAS.
“Prinsip saya adalah untuk tidak menyerang musuh lawan secara peribadi. Saya tidak akan merendahkan sesiapa. Saya hanya akan menyampaikan perubahan yang saya mahukan untuk Bertam.
“Saya mahu berpegang kepada nilai budaya Malaysia dan ambil berat tentang hal ehwal semua kaum dan menghormati kepercayaan mereka.
“Pada dasarnya, isu penyatu di Kepala Batas dan Bertam adalah GST. Walaupun ia kawasan separa pedalaman, isu kos sara hidup difahami semua,” katanya.
Khaliq berkata sebagai sebahagian daripada manifestonya, beliau berikrar akan memulihkan bangunan warisan di pekan lama Kepala Batas dan juga membantu mereka yang memerlukan untuk memulakan perniagaan sendiri dan memasarkan produk mereka.
Pada pilihan raya umum ini, Khaliq akan menentang wakil BN, Shariful Azhar Othman yang menyandang kerusi itu selama 1 penggal, dan calon PAS, Mokhtar Ramly.
Menurut daftar pengundi terbaru, DUN Bertam mempunyai 16,621 pengundi di mana 68% Melayu, 23% Cina dan 9% India. Kerusi itu dimenangi BN pada PRU13 dengan majoriti 1,642 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan